Pemuda Gombak ke Terengganu persiapan PRU16

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Program Tamrin dan Jaulah Pemuda PAS Kawasan Gombak menjadikan Terengganu sebagai destinasi untuk menghargai para petugas pilihan raya.

- Advertisement -

Pemangku Ketuanya, Mohd Khairul Yusri Mat Jusof berkata, program yang tertunda selama setahun itu turut mengambil kesempatan untuk bertemu dengan tokoh pimpinan gerakan Islam di Terengganu, khususnya Presiden PAS.

“Alhamdulillah, kita dapat bertemu dengan Tuan Guru, YB Ustaz Khalil, Pemuda PAS Marang dan beberapa orang tokoh lagi.

“Pada petang ini kita dapat bersama dengan YB Ustaz Hishamuddin yang mana bukanlah kita tidak biasa, sebenarnya (beliau) banyak turun ke Gombak sebelum ini,” katanya ketika berucap pada pertemuan khas bersama Dato’ Menteri Besar Terengganu, di Seri Iman, di sini hari ini.

Menurut Khairul, tujuan utama jaulah kali ini diadakan adalah untuk mendapatkan iktibar daripada tokoh-tokoh dan memanfaatkan pengalaman mereka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Kami ingin mempelajari strategi dari negeri yang sudah menang dan menerapkan pengetahuan ini di Selangor sebagai persiapan untuk PRU-16,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, program Tamrin yang akan diadakan di Tasik Kenyir juga bertujuan untuk merehatkan minda, serta melihat dan belajar dari keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Khairul turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pengiktirafan sebagai negeri yang paling telus dalam pengurusan kewangan bagi tahun 2023.

“Terengganu diiktiraf sebagai negeri yang paling telus dalam penilaian tersebut. Kami berharap untuk mencontohi ketelusan ini dalam pengurusan kewangan jika diberi mandat pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha PAS Negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim mengalu-alukan kedatangan Pemuda PAS Gombak ke Terengganu dan mengucapkan terima kasih kerana memilih Tasik Kenyir sebagai lokasi Tamrin.

“Semoga program ini memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta, khususnya dalam memperkukuh gerak kerja di kawasan masing-masing,” katanya yang mewakili Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -