
BESUT: Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur tahun ini diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan besar golongan itu dalam memastikan keterjaminan makanan dan kelangsungan ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka adalah tulang belakang sektor pertanian yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Tanpa usaha gigih dan dedikasi mereka, kita tidak akan dapat menikmati hasil pertanian, ternakan, dan perikanan yang berkualiti.
“Di sepanjang empat hari berkampung di sini, kita berpeluang untuk menyaksikan pelbagai pameran, demonstrasi, dan pertandingan yang diadakan.
“Saya berharap semua yang hadir dapat mengambil kesempatan ini untuk menimba ilmu, bertukar pengalaman, dan mengembangkan jaringan kerjasama,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur di Dataran Pekan Jabi, dekat sini, hari ini.
Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
“Pelbagai inisiatif dan program telah diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing hasil pertanian dan perikanan.
“Antaranya adalah penggunaan teknologi moden, penyelidikan dan pembangunan, serta latihan dan bimbingan kepada para peladang, penternak, dan nelayan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











