
KANGAR: Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2024 yang berlangsung dari 24 hingga 28 Julai di Perpustakaan Awam Negeri Perlis menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua golongan.
Selain menyajikan buku-buku terbaik dan terlaris, pelbagai jualan buku, kraf tangan dan makanan juga disediakan.
Pengunjung juga berpeluang menikmati aktiviti-aktiviti seperti zoo haiwan ternakan (Petting Zoo), soopa doopa, seni pasir (sand art), pameran ikan laga, aktiviti menyauk ikan, dan pertandingan mewarna ikan laga.
Terdapat juga cabutan bertuah dengan hadiah berupa basikal dan barangan elektrik.
Antara pengisian menarik sepanjang pesta buku ini termasuk bengkel-bengkel seperti Microsoft Word, Microsoft Excel, deklamasi sajak, tulisan khat, melukis Doodles Bag, mudahnya sifir menggunakan jari, asas catur, serta pertandingan ejaan Bahasa Melayu.
Terdapat juga ceramah motivasi dan integriti, serta pelbagai aktiviti DIY seperti E-Kad, kerongsang tudung, dan kraf tangan.
Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2024 turut menampilkan pekomik terkenal, Rani Ahmad @ Wukong, serta mengadakan pelbagai pertandingan seperti mewarna bersama keluarga, karaoke lagu 60-an, dan resensi buku.
Bagi yang berminat dengan teknologi, terdapat bengkel smartphone photography, 3D printing dan design serta penggunaan Google Apps dan Canva.
Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh dilakukan melalui laman web rasmi Perpustakaan Awam Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 25/7/2024













