
BESUT: Kerajaan Negeri Terengganu menafikan dakwaan terlibat masalah integriti yang menjadi punca royalti minyak disekat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pandangan berkenaan adalah tidak berasas dan bersifat politik semata-mata.
“Pada saya itu pandangan yang tidak berasas, semua adalah sebab politik.
“Inilah yang selalu saya tekankan di awal penggal 2018 lagi bahawa kalau kita bergerak mengemudi sebuah kerajaan tidak kira negeri atau persekutuan tetapi menjadi asas politik itu nombor satu akhirnya yang akan jadi mangsa ialah orang yang tidak berparti dan juga rakyat awam.
“Kita kena pastikan bahawa politik ada masa dan ketikanya tetapi apabila sampai masa untuk membangunkan negara dan negeri kita hendaklah memikirkan kepentingan awam lebih besar kepentingan parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi, dekat sini, hari ini.
Mengulas berhubung pengiktirafan Terengganu sebagai negeri paling telus dalam pengurusan Belanjawan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) beliu berkata, ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan bahawa bajet yang dibentang dan dibelanjakan kepada rakyat itu telus dan penuh integriti.
“Kita akan pastikan sistem kewangan dan penilaian di semua GLC adalah telus, walaupun GLC ini tidak dimasukkan dalam MyObi,” katanya.
Beliu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada IDEAS di atas inisiatif untuk membuat penilaian bajet negeri seluruh Malaysia.
“Alhamdulillah bagi pihak negeri Terengganu kita dua tahun berturut-turut (dapat pengiktirafan).
“Saya mengambil kesempatan untuk tahniah kepada negeri Selangor kerana mendapat tempat pertama bersama Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











