Pesta Buku Perlis pemangkin promosi TMP 2024-2025

- Advertisement -

KANGAR: Pesta Buku Perlis yang sedang berlangsung berupaya menjadi platform untuk mempromosikan negeri Perlis sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025, dengan menarik pengunjung dari luar negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, ia juga menjadi lokasi riadah minda bersama keluarga.

“Pesta buku ini bukan sahaja menyediakan akses terus kepada pembekal buku, tetapi juga menjadi tempat untuk beriadah seisi keluarga di perpustakaan ini.

“Saya berharap ia juga menjadi medan untuk mempromosikan program perpustakaan kepada masyarakat luar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2024 di pekarangan Perpustakaan Awam Negeri, di sini hari ini.

Selain itu katanya, keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan 16 pelajar di negeri Perlis berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

“Alhamdulillah, keputusan STPM di Perlis amat membanggakan kita. Ada enam belas orang yang dapat 4 flats, Alhamdulillah, dari sembilan buah sekolah,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan membaca dalam membentuk minda dan membuka pelbagai peluang bagi setiap individu.

Selain dari jualan buku, pelbagai aktiviti seperti bengkel, pertandingan dan aktiviti lain diadakan untuk menarik minat pelbagai golongan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Speaker Dewan Rakyat, Ruselee Eizan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Cek Murad Sayang Ramjan; dan Pegawai Kewangan Negeri, Zafri Saad. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -