
GUA MUSANG: Sebut sahaja nama Kampung Jerek ramai guru berdebar kerana bimbang ditukar mengajar di sekolah di kampung tersebut.
Maklumlah Jerek terletak di kawasan pedalaman Gua Musang yang agak sukar dihubungi sebelum ini.
Bagi guru yang ditukar mengajar di situ mereka hanya ada pilihan menggunakan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Guru atau penjawat awam lain akan turun di stesen KTMB di Limau Kasturi dan menaiki kenderaan ke Jerek. Namun, mereka terpaksa menyeberangi Sungai Nenggiri di Bertam Baru.
Selepas menyeberangi sungai mereka terpaksa menumpang motosikal atau kenderaan dari Bertam Lama ke Jerek. Perjalanan ke Jerek ketika itu mengambil masa sehari suntuk.
‘Cikgu Limau Kasturi’
Kisah seumpama itu pernah dipentas melalui drama siaran televisyen suatu ketika dahulu ‘Cikgu Limau Kasturi’.
Drama itu mengisahkan tentang seorang guru baru Bahasa Inggeris, Cikgu Halim ditukar mengajar di sebuah sekolah di Kampung Limau Kasturi.
Kawasan penempatan tersebut tidak mempunyai bekalan air dan elektrik serta hanya dapat dihubungkan dengan kereta api.
Pada mulanya Cikgu Halim amat susah hati dan keberatan untuk pergi mengajar di sekolah tersebut, namun setelah ibunya memberi dorongan dan semangat, beliau akhirnya akur.
Itu dahulu. Sekarang Jerek sudah jauh berubah. Malah pembangunan lebih tersusun berbanding Bertam Baru, Bertam Lama atau Limau Kasturi.

Di Jerek terdapat sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah. Di samping itu terdapat juga Pasti, Tadika Kemas dan Pusat Tahfiz milik persendirian.
Pasti dilengkapi bangunan dua tingkat yang baru siap dibina. Pasti tersebut merupakan yang terbesar di Gua Musang.
Ahli Majlis Daerah, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Mohd Noor Che Ya berkata, Jerek sekarang sudah jauh membangun dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.
Katanya, Jerek sekarang bukan lagi sebagai tempat ‘buangan’ guru yang menyokong pembangkang.
“Sebelum ini memang guru atau penjawat awam lain tidak berminat bertugas di Jerek kerana kesukaran jalan perhubungan.
“Namun sekarang sudah jauh berubah kerana ada jalan dari segenap arah ke Jerek. Ada jalan raya dari Gua Musang, Dabong dan Limau Kasturi,” katanya ketika ditemui.
1,000 rumah
Jerek terdapat kira-kira 1,000 rumah penduduk. Terdapat empat penempatan penduduk iaitu Jerek Baru, Jerek Luar, Jerek Tengah dan Jerek Dalam.
Panorama Jerek begitu menarik kerana di kelilingi bukit yang jauh mata memandang. Sebuah bukit yang agak tinggi seumpama Gunung Kinabalu di Kundasang, Sabah.
Bagi penggemar durian mereka berpeluang menikmati durian kampung yang agak murah.

Mohd Noor yang juga Ketua Cawangan PAS Jerek berkata, MDGM juga membina enam unit rumah kedai di Jerek dua tahun lepas bagi memberi peluang penduduk tempatan menjalankan perniagaan.
“Di sini juga terdapat sebuah pasar mini yang menyediakan pelbagai keperluan harian untuk penduduk.
“Selain itu terdapat gerai makanan, warung dan kedai makan yang menjadi tumpuan di sebelah pagi dan petang,” ujarnya.
Beliau juga berkata, penduduk memohon kerajaan mempertimbangkan sebuah balai mini Bomba dan Penyelamat di Jerek bagi memudahkan operasi ketika berlaku kebakaran.
Kata beliau sekiranya berlaku kebakaran jentera Bomba dan Penyelamat dari bandar Gua Musang terpaksa mengambil masa agak lama untuk sampai ke Jerek. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











