
KUALA LUMPUR: Tidak sepatutnya berlaku sebarang penerimaan sumbangan daripada syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti seperti rokok, perjudian dan arak kepada mana-mana sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, terdapat satu pekeliling yang sudah jelas telah menyatakan perkara tersebut.
“Ini kerana aktiviti-aktiviti tersebut boleh membawa keburukan dari segi sosial kepada ramai masyarakat dalam negara ini,” katanya ketika ditemui di WP Hotel, hari ini.
Menurut beliau, pihak KPM seharusnya bersifat lebih tegas mengenai isu itu memandangkan ianya melibatkan sistem pendidikan negara.
Tambah beliau, hakikatnya sumbangan-sumbangan daripada syarikat sebegitu adalah tidak wajar dan akan membawa kepada kemudaratan pada masa akan datang.
“Kita semua tahu bahawa syarikat arak menaja sekolah tersebut sebagai satu daripada kaedah promosi yang bertujuan untuk meningkatkan hasil jualan mereka kepada rakyat.
“Ini bukannya soal berapa banyak sumbangan yang diberikan tetapi keuntungan syarikat itu sendiri adalah berasaskan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat yang mana arak merupakan satu daripadanya.
“Kita harus melihat mudaratnya adalah lebih banyak daripada sumbangan yang mereka berikan itu iaitu wujudnya peningkatan lagi pelbagai gejala sosial yang sedia ada dalam negara ini,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.
Sehubungan itu, Zai menggesa KPM supaya tegas dengan benar-benar melaksanakan pekeliling yang ditetapkan secara menyeluruh.
“Jika sebuah syarikat arak sudah mula melakukan tajaan sebegitu maka syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti rokok dan perjudian serta penjualan arak yang lain juga akan melakukan sedemikian.
“Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan imej sistem pendidikan negara kita semakin tercalar. Maka, saya minta KPM supaya benar-benar tegas dan tidak membiarkan perkara sebegini untuk terus berlaku pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











