
KUALA LUMPUR: Rakyat Kelantan sangat berharap agar projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dapat disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan atau penangguhan.
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, projek tersebut adalah satu projek yang ditunggu-tunggu oleh rakyat negeri itu kerana ia akan memudahkan mereka dalam banyak perkara.
“Ia bukan hanya soal masa yang jimat dan keselesaan, bahkan LTU ini dianggap sebagai satu lonjakan, boleh menjadi lonjakan atau pemangkin kepada perkembangan ekonomi di Negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soalan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, selain daripada projek tersebut yang sedang berjalan, rakyat Kelantan juga mengharapkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan penambahbaikan kepada laluan lama yang menghubungkan di antara Timur Barat iaitu antara Negeri Perak dan Kelantan.
“Adakah pihak kementerian mempunyai perancangan dan strategi yang komprehensif untuk menaik taraf koridor Timur Barat yang semakin maju penggunaannya iaitu yang pertama laluan daripada Gerik, Perak ke Pasir Putih, Kelantan dan yang kedua laluan dari Simpang Pulai, Perak ke Aring, Gua Musang sehingga ke Kenyir Negeri Terengganu yang pernah tahun lepas ditutup akibat kerosakan yang agak teruk.
“Saya juga memohon jika dapat penjelasan mengenai status dan perkembangan projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang menjadi sambungan projek LTU terus ke Kota Bharu,” katanya.
Dalam soalan asalnya, Nik Abduh meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Bentong, Pahang dengan Kuala Krai, Kelantan yang telah mengalami kelewatan akibat pandemik COVID-19 dan langkah-langkah bagi mengurangkan kelewatan dan memastikan ia siap mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam jawapannya berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke (RMK) 12, kerajaan telah meluluskan beberapa projek, antaranya menaik taraf laluan dari Sungai Pak Badul ke Kampung Banir Belikong di Pasir Putih, menggantikan jambatan di Jeli, menaik taraf lebuh raya Timur Barat, di Grik, Perak. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











