Tajaan arak: Kerajaan tidak perlu tunduk desakan DAP

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: I-Medik Terengganu meluah rasa kecewa terhadap keputusan Kerajaan Madani yang ingin mengecualikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) daripada mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan berkenaan larangan sumbangan syarikat arak di sekolah.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, larangan berkenaan telah lama dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan dengan tegas oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

Surat berkenaan melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.

Tegasnya lagi, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tidak tunduk kepada desakan menteri DAP Antony Loke yang ingin mengecualikan SJKC dari peraturan itu dengan alasan ia telah lama dilaksanakan.

“Kerajaan boleh memperbetulkan keadaan dengan mempertegaskan kembali pekeliling ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kata beliau, mengikut kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) tahun 2022 yang memfokuskan kepada kesihatan dan aktiviti berisiko remaja, seramai tujuh peratus remaja pernah meminum arak dan 55 peratus daripada mereka mendapatnya daripada keluarga.

Katanya, daripada jumlah peminum itu, 73 peratus mempunyai ibu bapa yang meminum arak.

Ini, ujarnya menunjukkan pendedahan awal ke atas remaja telah pun berlaku dan dibimbangi akan menjurus kepada ketagihan dan seterusnya penyakit kronik berkaitan mental dan fizikal individu berkenaan.

Tambahnya, rakyat Malaysia sudah pun mengetahui kesan arak kepada masyarakat yang menyebabkan peminumnya mabuk, hilang pertimbangan, merosakkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan sehingga melakukan kerosakan yang boleh mengakibatkan jenayah.

“Kempen berkenaan bahaya kesan arak sepatutnya digencarkan lagi bermula dari sekolah-sekolah rendah bukan sebaliknya iaitu dibenarkan masuk melalui apa cara sekalipun,” katanya.

Beliau yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam berkata, perkara itu bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Kami ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia yang berkesedaran dan mempunyai nilai moral yang tinggi untuk mengecam mana-mana sumbangan dan promosi syarikat yang menjual barangan yang merosakkan kesihatan seperti arak, rokok, vape dan seumpama dengannya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dapat sentiasa terjaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -