Keadilan buat Zulfarhan akhirnya tertunai jua

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kes Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah menjadi kisah sedih penderaan ngeri yang tidak dapat digambarkan akal fikiran waras.

- Advertisement -

Pengamal undang-undang, Mardhiyyah Johari menyifatkan keperihan dipenjara mungkin tidak sesakit dibakar seterika, malah sengsara dipenjara tidaklah sederita diselar dengan benda panas tanpa belas ihsan.

“Jika saya mampu bercakap dengan tertuduh yang membunuh sahabat mereka sendiri itu, saya akan luahkan.Tidak sampai suku pun (hukuman penjara menyamai derita mangsa)

“Mungkin mereka pun hairan, penjara pun tidak tergamak mendera manusia sekejam itu,” kata beliau mengimbau kisah yang menggemparkan negara tujuh tahun lalu itu setelah Mahkamah Rayuan memuktamadkan hukuman kepada tertuduh, semalam.

Menurutnya, perbuatan menyeksa oleh enam bekas pelajar UPNM itu  termasuk ‘the rarest and most extreme forms of cruelty’, iaitu kezaliman yang sangat ekstrem dan jarang berlaku dan bukan perlakuan manusia normal.

“Bersalah itu bukan hanya yang melakukannya, tetapi juga bagi setiap yang bersubahat termasuk pihak berautoriti universiti yang cuai dan tidak melaksanakan amanah.

“Kezaliman yang dilakukan oleh enam yang tertuduh juga disempurnakan oleh kegagalan pihak yang mensia-siakan kewajipan,” bidas Mardhiyyah.

Beliau mempersoalkan, bagaimana sistem dan budaya yang membumi di dalam pagar sebuah institusi pendidikan sehingga jenayah boleh berlangsung begitu lama dan tidak dapat dihidu.

“Tetapi mujurlah, ada insan lain yang bertanggungjawab ‘membocorkan’  perihal itu dengan harapan ada pertolongan buat yang dizalimi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur.

Namun katanya, dek kerana warden yang tidak menggunakan akal dijalan sepatutnya, ‘surat layang’ meminta bantuan disepikan begitu saja, malah sanggup dibocorkan di ‘group whatsApp’ yang akhirnya kezaliman ditutup dan dibeku kemas di peti besi.

“Tak tahulah didikan bagaimana yang mereka terima sehingga kekuatan fizikal tidak disertai walau sezarah jiwa manusiawi. Atau mungkin soalan yang lebih tepat, bagaimana sebenarnya perjalanan yang dilalui usia dari rumah, sekolah hingga universiti?

“Tetapi apalah nak diherankan apabila jiwa kesyaitanan itu mula menguasai sehingga tidak mengenal ihsan dan kasihan,” luahnya dan menyatakan bahawa tanpa rasa insaf yang ikhlas, tidak akan memberi jaminan jiwa kejam seperti itu kembali membenih.

Justeru bagi Mardhiyyah, hukuman mati yang dikenakan sungguhpun tidak mengembalikan jiwa manusia yang diperlakukan umpama haiwan sebelum ini, sekurang-kurangnya mereka faham akan kesakitan seperti dirasai mangsa didera itu.

“Mungkin keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada kali ini mampu membuat mereka kenal erti sakit, serik, insaf dan taubat yang nasuha.

“Sebelum ini mereka senyum gembira semasa Mahkamah Tinggi tidak menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 302. Dengan hukuman mati itu secara tidak langsung ‘kesukaan’ menyeksa manusia lain itu tidak mereka bawa keluar kepada manusia lain pula,” katanya.

Mungkin ujarnya, doa sebelum mangsa dera, Zulfarhan kembali ke sisi Allah dimakbulkan kerana siapa tahu pengaduan yang diharapkan oleh mangsa ketika beliau menanggung kesakitan.

Tetapi palihg pasti yakininya, doa agar mereka yang menzaliminya menerima hukuman setimpal kerana umum mengetahui doa orang dizalimi tiada hijabnya dengan Allah SWT.

“Justeru wahai anak-anak muda, jadilah golongan yang menabur bakti dan berakhlak baik. Namun saya tidak menolak sistem pendidikan yang ada kini boleh merosakkan generasi akan datang.

“Malah budaya ‘celaka’ yang dilihat berleluasa tidak boleh dibiarkan sekira mahu generasi muda menjadi golongan yang berguna.

“Kejahatan orang-orang jahat yang dibenarkan oleh lemahnya orang-orang yang baik , ‘disempurnakan’ oleh khianatnya insan yang memegang amanah,” tambahnya.

Oleh itu kepada Allah jua diserahkan, agar dikurniakan taufik dan hidayah yang bukan sahaja kepada enam orang yang dijatuhkan hukuman mati, tetapi kepada hampir 30 orang dipercayai terlibat dengan kejadian 20 Mei 2017 lalu.

Kepada ibu bapa serta keluarga mangsa, ADUN Pengkalan Kundur itu berharap agar banyakkan bersabar dan redha dengan perkara yang berlaku walaupun beliau sedar, kejadian tujuh tahun lalu bukanlah mudah untuk dilupakan.

“Allah telah menganugerahkan anak dengan sebaik-baik akhlak kepada kalian berdua (ibu bapa Zulfarhan), walaupun dia disiksa tapi masih mampu mengucapkan sayang kepada mereka yang memukulnya dan memohon maaf kerana mengelap muntahnya.

“Dia mampu mengucapkan kalimah-kalimah yang baik di saat disakiti dan dizalimi. Sungguh, beliau mencontohi akhlak para Nabi,” ujarnya.

Sikap Allahyarham tidak memaklumkan ibu bapa akan tragedi ke atas dirinya membuktikan beliau seorang anak yang baik kerana tidak mahu kejadian itu memberi implikasi buruk kepada kesihatan ibunya yang sedang sakit.

“Semoga Allah Yang Maha Pengasih mengurniakan syurga tanpa hisab buat Zulfarhan dan melimpahkan kesabaran buat ibu dan ayahnya sehingga ketiga-tiganya bersatu kembali di syurga.

“Cukuplah coretan penuh kesedihan ini untuk tragedi hitam negara. Saya mengharapka ‘The rarest and most extreme forms of cruelty’ tidak berulang lagi di mana-mana institusi di negara kita,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -