
ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, dakwaan pihak tertentunya kononnya PAS mengadakan pertemuan bersama Umno untuk membincangkan berkenaan PRU16, adalah tidak benar.
Katanya, beliau sendiri sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat tidak menerima sebarang maklumat berkenaan dakwaan itu.
“Sebenarnya banyak sangat dakwaan yang kita dengar, kononnya PAS mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH), ini dengan Umno pula.
“Sebenarnya tak ada pun. Itu Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) yang kata. Dia kata ada,” bidas beliau ketika ditemui pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.
Tegas Sanusi, kalau hendak diukur pertemuan pemimpin PAS dengan Umno itu satu perjumpaan khusus, selalu sahaja Ahli-Ahli Parlimen kedua-dua parti itu berjumpa di Parlimen.
“Pertemuan antara parti-parti ini perkara biasa. Jumpa hari-hari walaupun tak rasmi. Saya berjumpa selalu dengan pemimpin Umno, pemimpin DAP pun ada.
“Dengan Fahmi Fadzil pun pernah. Di Istana Negara hari itu, saya jumpa dia, dia duduk di hadapan saya (ketawa). Tapi perjumpaan seperti itu tidak boleh diertikan pertemuan rasmi sebab kita tak bincang hal-hal politik atau hala tuju parti,” jelasnya lagi.
Sementara katanya, pada mesyuarat PAS Pusat juga tiada sebarang laporan dibentangkan berkenaan pertemuan parti itu bersama pemimpin Umno atau lain-lain parti secara rasmi. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











