
AYER KEROH: Pengumuman Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan mewujudkan kursus pensijilan Fisioterapi dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat sebagai sesuatu yang tidak menepati sifat semulajadi bidang tersebut.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, langkah tersebut juga telah menimbulkan perdebatan hangat dan keresahan dalam kalangan ahli fisioterapis, ahli akademik dan pemegang taruh bidang berkenaan terutamanya di media sosial.
“Hampir semua tidak berpuas hati dan dilihat sebagai langkah ke belakang sedangkan mereka telah lama berjuang untuk memartabatkan profesion ini sekian lama.
“Untuk pengetahuan, World Confederation for Physical Therapist (WCPT) yang merupakan badan profesional fisioterapi tertinggi di peringkat dunia dan disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf ‘entry-level of education’ bagi profesion ini adalah peringkat Ijazah Sarjana Muda sahaja,” katanya.
Walau bagaimanapun kata Bakri, Akta 774 iaitu Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016, masih mengiktiraf Diploma Fisioterapi sebagai tahap kemasukan ke bidang itu memandangkan Malaysia masih lagi mempunyai banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang menawarkan program di peringkat diploma.
Tambahnya, kenyataan TPM itu juga dilihat sebagai salah faham kepada segala isu yang dihadapi oleh para fisioterapis, institusi pendidikan yang menawarkan program tersebut dan pemegang taruh lainnya.
“Terutamanya soal kekurangan perjawatan di KKM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Guru Pendidikan Khas (Fisioterapi) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan di Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun di hospital-hospital swasta.
“Langkah kerajaan juga tidak akan menyelesaikan isu lambakan graduan fisioterapis yang menganggur atau bekerja di luar bidang apatah lagi isu gaji yang tidak setimpal dengan tanggungjawab dan bebanan tugas mereka,” kata beliau.
Jelasnya, graduan juga menghadapi masalah untuk membuka klinik rawatan persendirian kerana kos yang tinggi serta pembiayaan yang terhad.
Udang di sebalik batu
“Malah kenyataan ini dianggap mempunyai niat bagai udang di sebalik batu iaitu untuk menyediakan program peringkat sijil sebagai model penjanaan pendapatan kemudiannya.
“Di samping meraih populariti bagi menutupi ketidakupayaan dan kemelut yang melanda Kerajaan Madani amnya dan TPM sendiri khususnya,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa jika berdasarkan kepada WHO, nisbah ideal untuk fisioterapis ialah pada kadar satu fisioterapis untuk setiap 2000 orang penduduk.
“Malaysia dianggarkan mempunyai sekitar 4,500 ahli fisioterapi aktif yang berkhidmat di bawah KKM, hospital swasta atau memiliki klinik fisioterapi persendirian.
“Jika dinisbahkan kepada jumlah penduduk Malaysia seramai 32.9 juta orang bermaksud nisbahnya ialah 1:7311,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.
Manakala bilangan ahli fisioterapis yang berkhidmat dengan KKM pula ialah seramai 1956 menjadikan nisbah fisioterapis KKM kepada penduduk pula ialah 1:16820, katanya.
Menurut beliau, perkara itu menunjukkan bahawa ahli fisioterapis di dalam negara ini amatlah sedikit dan kritikal sedangkan lambakan graduan fisioterapi juga berlaku.
“Kalau adapun ditawarkan jawatan oleh hospital swasta dan klinik persendirian, gajinya amat rendah iaitu sekitar RM1,500 untuk lulusan Diploma dan RM1,800 peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Sedangkan mereka sepatutnya dibayar sekurang-kurang RM2,000 peringkat diploma dan RM2,500 bagi yang punya Ijazah Sarjana Muda berdasarkan kepada kos sarahidup kini,” katanya.
Jelasnya, kerana itu tidak pelik jika ramai graduan fisioterapi memilih untuk berkhidmat di sektor e-hailing dan lain-lain yang tidak berkaitan.
Menurut beliau, hakikatnya negara tidak kekurangan dalam mengeluarkan graduan dalam bidang itu kerana terdapat 16 institusi pengajian tinggi di Malaysia sama ada awam atau swasta ada menawarkan program di bidang fisioterapi itu.
“Kerajaan harus melakukan penyelidikan yang tepat lagi menyeluruh untuk memastikan penghasilan graduan, mengesan ke mana mereka setelah tamat pengajian.
Langkah ditertawakan dunia
“Masalah yang dihadapi graduan untuk mendapat pekerjaan bersesuaian dan gaji yang setimpal bukannya ‘downgrade’ profesion mulia ini dengan langkah yang akan ditertawakan dunia,” katanya.
Kata Bakri, kajian keperluan perjawatan fisioterapi di segala sektor berkepentingan dan kementerian terbabit sebagai pemegang taruh juga mesti dilakukan supaya keperluan negara pada masa akan datang benar-benar diisi oleh mereka yang layak.
“Merawat manusia bukan seperti memperbaiki motosikal! Saya kira idea ini terhasil kerana kurang kajian mendalam atau TPM dibisikkan dengan mereka yang kurang mengambil berat kebajikan ahli fisioterapi di negara ini dan punya niat yang lain.
“Mungkin juga perbincangan tidak dibuat untuk menghasilkan formula ini dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia, Majlis Profesion Sains Kesihatan Bersekutu, badan profesional induk yang ditubuhkan untuk memayungi profesion fisioterapi di negara kita. Jika benar, sungguh luar tabii!” ujarnya.
Beliau meminta agar kerajaan memikirkan perkara itu masak-masak sama ada rancangan memasukkan fisioterapi dalam TVET itu sebagai langkah yang benar-benar akan menyelesaikan masalah pokok ahli fisioterapi di Malaysia atau Undang-undang berkaitan Akta 774 2016 akan dibakul sampahkan sahaja.
“Adakah bidang kedoktoran dan kejururawatan akan ‘diTVETkan’ dengan mengambil kira alasan untuk menarik minat kepada generasi muda terhadap peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan dan boleh diceburi tanpa melalui sistem akademik yang biasa bagi memberikan peluang sama rata kepada semua untuk cemerlang dalam kehidupan?
“Selepas fisioterapi apa pula? Medical Imaging? Medical Lab Technology? Dietetik dan Nutrisi? Farmasi? Optometri mungkin?” katanya sinis.
Pengumuman itu juga mendapat reaksi yang sama daripada Persatuan Klinik Fisioterapi Swasta Malaysia (PPCOA) yang memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan kursus fisioterapi dalam program TVET.
Berdasarkan laporan beberapa media, Presidennya, Datuk Dr Balwant Singh Bains berkata, mereka menyambut baik dan menghargai inisiatif kerajaan bagi menangani kekurangan ahli fisioterapi di Malaysia.
Meskipun begitu, kata Balwant, pihaknya juga percaya bahawa pendekatan itu tidak akan memberi manfaat kepada kualiti profesion dan boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, dalam laporan itu, fisioterapi bukan semata-mata kemahiran teknikal, ia adalah disiplin perubatan komprehensif yang melibatkan pemahaman anatomi manusia, fisiologi, dan patologi yang kompleks untuk menyediakan penjagaan pesakit yang berkesan.
Kerana itu, beliau mewakili PPCOA menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan meletakkan fisioterapi di bawah program TVET. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











