Ketua Audit Negara harus bebas

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara harus bebas daripada tertakluk terhadap mana-mana pihak antaranya Menteri Kewangan yang berkuasa mengarahkannya melakukan sesuatu tindakan.

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, ia berkaitan dengan kuasa yang diberi kepada Menteri Kewangan untuk mengarahkan Ketua Audit Negara menyiasat badan-badan termasuk perniagaan yang terlibat dalam pinjaman atau pun geran dari Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Katanya, ia hanya berdasarkan kepada situasi apabila Menteri Kewangan ‘berpuas hati’ akaun itu dikehendaki diperiksa atau disiasat.

“Ayat ini menjurus kepada sebenarnya untuk mengarah Ketua Audit Negara membuat penyiasatan ini, isu ‘point’ yang saya rasa kita kena bincang.

“Hari ini kita duduk di Dewan Negara. Bukan soal menteri sekarang, bukan soal Menteri Kewangan sekarang. Tetapi undang-undang ini bakal menjadi undang-undang kekal sehingga ianya nanti bakal dipinda kalau perlu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan Akta Ketua Audit di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau, undang-undang itu bakal membuka satu ruang untuk suatu bidang kuasa yang terlalu luas, bukan kepada Ketua Audit Negara, tetapi kepada Menteri Kewangan pada bila-bila masa sama ada sekarang atau akan datang.

Jelasnya, sebagai contoh, dalam amalan biasa, polis akan bertindak mengikut aduan, namun dalam soal itu, tiada keperluan untuk wujudnya laporan, tetapi cukup dengan hanya Menteri Kewangan ‘berpuas hati’.

“Kita tak mahu dibiarkan untuk berlakunya ‘abuse of power’ ataupun kuasa disalahgunakuasakan. Saya hanya satu ‘point’ di sini iaitu isu Menteri Kewangan.

“Ketua Audit Negara sudah pun diberi kuasa. Perlembagaan telah pun memartabatkan kedudukan Ketua Audit Negara bagi kedudukannya sangat tinggi menurut Perkara 105, 106 dan 107,” katanya.

Menurut beliau, Menteri Kewangan adalah orang politik yang mempunyai rakan karib, ada orang yang dia curiga dan juga ada musuh politik yang dibimbangkan.

“Boleh saja berlaku apa-apa saja untuk dia buat sesuatu move sehingga akhirnya yang menjadi alatnya adalah Ketua Audit Negara kerana dia akan menerima arahan daripada Menteri Kewangan untuk siasat. Bila siasat sahaja sudah berlaku suatu benda yang kacau-bilau,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -