PN akan umum tiga hari sebelum penamaan calon

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) akan umumkan nama calon untuk PRK DUN Nenggiri, tiga hari sebelum hari penamaan calon, 3 Ogos nanti.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini PN mempunyai tiga nama yang dicadangkan tetapi keputusan muktamad belum diputuskan lagi.

“Saya sendiri tak kisah sama ada calon PRK DUN Nenggiri daripada parti PAS atau BERSATU walaupun ada permintaan dari pemimpin PAS Gua Musang agar diwakili calon PAS.

“Tetapi kerusi Nenggiri pernah ditandingi calon parti BERSATU, mungkin tak ubah. Tetapi PN akan buat keputusan berkenaan hal ini,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu turut memaklumkan, beliau mungkin tidak dapat hadir pada hari pengumuman calon kerana mempunyai urusan penting, tetapi akan cuba hadir pada hari penamaan calon nanti.

PRK DUN Nenggiri yang dijadual pada 17 Ogos depan, menjadi perhatian umum apabila kerusi berkenaan dikosongkan berikutan Mohd Azizi Abu Naim yang menang pada PRN15 lalu, berpaling tadah menyokong kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, PRK Nenggiri menentukan maruah dan harga diri pengundi dan amat penting memastikan PN kekal di kerusi tersebut. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -