
ALOR SETAR: Kajian lengkap berkenaan sejarah Kedah dan Pulau Pinang dijangka selesai pada Disember akan datang, maklum Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau memaklumkan, separuh daripada kajian tersebut telahpun dilaksana melibatkan dokumen-dokumen yang diperolehi daripada sumber berautoriti di luar negara.
“Sebanyak 20,000 dokumen sejarah telah dikumpulkan yang kebanyakannya mengenai laporan laporan negeri-negeri Selat kepada Kerajaan British ketika itu,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini,
Penemuan dokumen tersebut katanya, hasil kunjungan pengkaji ke luar negara seperti London, Belanda, Thailand dan Indonesia, sebelum ini.
“Saya telah mengkaji serta meneliti dokumen berkenaan di British Library dan British National Achive dan ia menjadi sebahagian daripada rujukan kepada kajian yang dilakukan sekarang.
“Ini bukan semborono, tetapi berdasar fakta dan dokumen sejarah yang disimpan itu kebanyakannya adalah laporan pentadbiran negeri-negeri Selat pada masa itu,” tambahnya.
Walau bagaimanapun kata Sanusi, perkara itu tidak boleh dijelaskan sepenuhnya sekarang kerana kajian itu belum lengkap sehinggalah muktamadnya dijangka pada Disember depan.
Mengulas lanjut, ADUN Jeneri itu berkata, semua fakta akan dikemukakan secara ilmiah berdasar hakikat sebenar berkenaan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang melalui pengkaji yang dianggotai kalangan pakar undang-undang dan sejarahwan.
“Isu ini lama dah, sudah ratusan tahun. Tetapi ketika masa ini, (menjadi Menteri Besar) saya nak kumpulkan bahan-bahan ini secara berfakta,” jelasnya lagi.
Dapatan daripada kajian itu tegasnya akan menentukan hala tuju dua negeri berkenaan termasuk isu tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.
Terdahulu, Sanusi pernah mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah berkaitan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang yang dipesongkan sejarahnya lebih 200 tahun lalu.
Namun, beliau turut menjelaskan kajian tersebut bukanlah semata-mata untuk membolehkan tuntutan ke atas Pulau Pinang dilakukan tetapi untuk menjelaskan wujudnya hubungan antara dua negeri itu sebelum ini. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











