
KOTA BHARU: Isu tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji sejak Mac lalu sengaja dicipta untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, ia disengaja dibangkitkan sebagai tohmahan buruk ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri 17 Ogos ini.
Katanya, Bahagian Pengurusan Korporat Pejabat Setiausaha Kerajana Negeri (SUK) menafikan laporan tersebut memandangkan syarikat pembersihan dilantik melalui proses tender.
“Mereka menerima gaji pada masanya sebagaimana kakitangan awam lain, malah ada waktunya mereka lebih awal menerima (gaji),” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di MABNA di sini hari ini.
Baru-baru ini, ada laporan mendakwa seramai 20 tukang cuci dan kerja pembersihan di Kota Darulnaim mengalami kesukaran hidup kerana gaji mereka tidak dibayar sejak Mac lalu.
Mohd Asri berkata, tidak ada sebarang isu berkaitan pembayaran gaji termasuk kepada pekerja bahagian kebersihan serta tukang cuci.
Oleh itu beliau menyifatkan isu berkenaan sengaja direka dengan berniat jahat untuk memburukkan imej kerajaan negeri serta pemimpinnya.
“Kerajaan negeri menyerah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membuat siasatan berhubung perkara itu.
“Orang ramai juga diingatkan supaya selidik terlebih dahulu isu yang diviral di media sosial bagi mengelak menyebar perkara yang tidak benar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











