
KUALA TERENGGANU: Dakwaan Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hutang negara meningkat akibat hutang terdahulu adalah tidak munasabah, ujar Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Katanya, beliau merasa hairan terhadap kenyataan PMX yang mengatakan Kerajaan Madani berjaya mengurangkan pinjaman wang kepada RM93 bilion semasa pemerintahannya.
Amzad juga menyentuh kenyataan Anwar iaitu untuk tahun ini, kerajaan meminjam sebanyak RM86 bilion sahaja, berbanding pada tahun 2021 dan 2022, kerajaan ketika itu telah meminjam sekitar RM100 bilion.
“Jawapan yang diberikan oleh PMX itu tidak munasabah kerana ketika saya meminta justifikasi kepada kenaikan hutang Kerajaan Persekutuan RM64 bilion dalam tempoh 4 bulan kepada Kementerian Kewangan, jawapan rasmi yang diberikan adalah hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjutbeliau berkata, jika hendak dibandingkan dengan tahun 2021, tahun itu adalah tahun Covid dan waktu itu adalah PKP, sudah pastinya kerajaan terpaksa berhutang lebih untuk tangani pandemik Covid, yang terjejas bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia.
“Semua negara lumpuh ketika itu. Kerajaan pada ketika itu berusaha yang terbaik untuk membantu rakyat pada masa yang sama mengimbangi ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, di sebalik janji Kerajaan Madani untuk tidak lagi menaikkan hutang, jumlah kenaikan hutang bagi empat bulan pertama bagi tahun 2024 ini adalah pada kadar paling laju dalam sejarah.
“Jumlah kenaikan hutang kedua paling besar adalah pada tahun 2023 masa Kerajaan Madani juga iaitu sebanyak RM93 bilion. Ironinya, hutang tidak akan bertambah sekiranya kerajaan pinjam untuk bayar balik hutang lama.
“Jika pinjam hutang baru RM10 untuk bayar balik hutang lama RM10, hutang tidak bertambah atau tidak berkurang. Saya pelik formula apa yang PMX guna dengan mengatakan bahawa hutang semakin bertambah,” katanya.
Katanya lagi, PMX mendakwa beliau terpaksa menanggung hutang-hutang yang lepas termasuk 1MDB berjumlah RM48 billion, hakikatnya Ahli Parlimen Tambun itu sudah tidak ada modal lain untuk ‘spin’ selain menyalahkan 1MDB.
“Semasa Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, skrip yang sama juga digunakan. RM42 bilion hutang 1MDB yang mempunyai banyak aset bernilai boleh menyebabkan negara bankrap tapi pinjam RM50 bilion dalam tempoh 4 bulan tidak pula bankrap?
“Sedar atau tidak sedar hutang naik tinggi ketika Kerajaan Madani membuat bajet perbelanjaan besar dalam sejarah iaitu RM393.8 bilion (lebih tinggi dari perbelanjaan tahunan semasa Covid).
“Apabila belanja sangat besar pada ketika bajet masih defisit, maka kenaikan hutangakan lebih laju. Ini adalah logiknya. Cukuplah PMX berdalih dan memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang, kerajaan perlu kawal perbelanjaan bukan keluar belanja paling besar dalam sejarah.
“Jikapun Madani berjaya turunkan defisit ke 3.5 peratus ada tahun 2025, hutang tidak akan berkurang seperti didakwa Rafizi kerana defisit itu negatif.
“Negatif maksudnya perbelanjaan kerajaan lebih tinggi berbanding hasil dania bermakna kerajaan perlu pinjam dan tambah hutang,” katanya.
Jelas beliau, selain menambah hutang untuk menampung belanjawan besar kerajaan, apa yang kerajaan lakukan adalah mereka menghapuskan pula subsidi diesel menyebabkan kenaikan sebanyak RM1.20 kepada RM3.35 seliter kononnya untuk menanggung ketirisan.
“Sudahlah diesel naik, harga barang pula makin hari makin naik. Tangga gaji pula masih di takuk yang sama. Akhirnya yang menanggung beban adalah rakyat.
“Rakyat sudah semakin tertekan dengan pelbagai bebanan yang perlu ditanggung akibat kegagalan kerajaan mengurus kewangan.
“Sudah-sudahlah menuding jari ke arah orang lain. Ini jelas membuktikan kegagalan Kerajaan Madani dalam mentadbir negara.
“PMX perlu akui kelemahan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Jika keadaan ini berlarutan, ekonomi negara akan menjadi lebih teruk dan yang paling terkesan adalah rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











