Jambatan sudah lama siap, jalan belum lagi

- Advertisement -

GUA MUSANG: Penduduk di Bertam Baru tidak perlu lagi menggunakan lorong khas motosikal di jambatan kereta api untuk berulang alik ke Bertam Lama.

- Advertisement -

Sedangkan sejak berpuluh tahun lalu, lorong motosikal yang dibina di sebelah jambatan kereta api menjadi laluan utama mereka.

Lorong tersebut hanya boleh dilalui motosikal dan berjalan kaki. Kereta penduduk terpaksa diletak berhampiran jambatan dan terpaksa berjalan kaki ke Bertam Lama. Begitu juga keadaan sebaliknya.

Kampung Bertam Baru merupakan laluan akhir bagi penduduk yang melalui jalan Gua Musang-Limau Kasturi. Manakala Bertam Lama pula jalan akhir bagi penduduk dari arah Gua Musang-Jerek.

Ekoran itu pada tahun 2021 projek membina jalan dan jambatan menghubungkan Kampung Bertam Baru-Bertam Lama dijalankan.

Bagaimanapun selepas jambatan terbabit siap yang dibina bersebelahan jambatan kereta api, jalan ke Bertam Lama dan Jerek masih lagi menggunakan jalan lama.

Projek menaik taraf jalan Bertam Lama ke Jerek belum lagi siap sehingga sekarang. (Foto atas)

Ekoran itu penduduk terpaksa menggunakan jalan lama bersebelahan landasan kereta api.

Projek menaik taraf jalan tersebut turut melibatkan rumah penduduk yang tinggal di tanah milik Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Ketua Penyelaras Belia DUN Nenggiri, Rizwadi Ismail berkata, kira-kira 20 rumah penduduk terbabit dengan projek pembinaan jalan di Bertam Lama.

Rizwadi Ismail

“Seramai enam keluarga daripada jumlah penduduk terbabit tidak mampu membina rumah baru di tapak yang diwakafkan seorang penduduk.

“Mereka sekarang terpaksa menumpang di rumah keluarga dan menyewa di tempat lain memandangkan rumah lama di tanah rezab KTMB dan sungai terpaksa diroboh bagi memberi laluan projek jalan,” katanya di sini.

Sedia lot baru

Sementara itu Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, penduduk yang terlibat projek pembinaan jalan baharu diberi lot gantian tidak jauh dari penempatan asal mereka.

Katanya, tanah terbabit dianggar bernilai RM50,000 setiap lot itu tidak dikenakan sebarang bayaran kecuali proses pemilikan tanah.

Nik Raisnan Daud

“Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang meminta kerjasama Kementerian Kerja Raya menyediakan sedikit saguhati untuk semua penduduk yang terlibat,” ketika ditemui UPKN baru-baru ini.

Beliau juga berkata, penduduk terbabit sebelum ini didapati tinggal di tanah rizab sungai dan dalam lot kepunyaan Perbadanan Aset Keretapi (PAK).

Oleh itu beliau meminta penduduk terbabit datang ke Pejabat Tanah Gua Musang bagi membuka fail dan memberi jaminan akan mempercepatkan proses pemilikan tanah.

“Kita minta penduduk terbabit datang berjumpa dengan Ketua Jajahan bagi menyelesaikan masalah tersebut,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -