Papan iklan besar tumbang: Apa tanggungjawab CMI?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kejadian dua papan iklan besar yang terletak di yang Jambatan Mahkota Parade di Bandar Hilir dan satu lagi di Jalan Bachang menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia disahkan tiada permit.

- Advertisement -

Perkara itu diakui oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin keesokan harinya.

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-dua papan iklan itu berada di jalan besar dan lokasi yang sibuk.

Jelas beliau, pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka telah diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dari Melaka Kini Sdn Bhd pada 15 Januari 2020.

“Adalah menjadi tanggungjawab CMI untuk memastikan semua papan iklan yang didirikan mematuhi SOP dan spesifikasi yang telah digariskan.

“Kenyataan Exco menimbulkan pertanyaan, bagaimana papan iklan yang besar dibina tanpa pengetahuan dan lesen oleh PBT?” soalnya.

Yadzil turut menimbulkan persoalan bagaimana CMI selaku Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka mengambil tanggungjawab atas kejadian itu?

“Siapakah pemilik papan iklan gergasi yang roboh tempoh hari? Apakah tindakan yang telah diambil? Berapa banyak lagi papan iklan yang tidak berlesen dibiarkan dibina di negeri Melaka?

“Apakah tindakan pihak kerajaan untuk mengelakkan pembinaan papan iklan haram?” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau sebentar tadi.

Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka berkata, setiap papan iklan perlu dibina mengikut SOP dan syarat ditetapkan serta menepati ciri-ciri keselamatan agar dapat mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pihak Kerajaan Negeri Melaka tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam kemalangan yang berlaku.

“Pihak SPRM perlu menyiasat laporan yang telah difailkan, apakah ada unsur rasuah dalam isu ini? Dalang yang terbabit perlu dikesan agar perkara yang sama tidak berulang,” katanya.

Hari ini Pengerusi Pertubuhan Angkatan Perpaduan Bersatu Melaka, Mohd Azrudin Md Idris telah membuat laporan kepada SPRM Melaka berkaitan isu tersebut dan menuntut satu siasatan menyeluruh dibuat atas isu tersebut. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -