
BALING: Pimpinan PAS Kawasan Baling telah mengadakan kunjungan ziarah bertanya khabar penduduk menerusi lawatan ke Kampung Kuala Balut dan Kampung Padang Ketemba dalam DUN Kupang, di sini semalam.
Program bersama ini melibatkan Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad dan ADUN Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Ustaz Najmi Ahmad serta Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Kupang dan Unit Hal Ehwal Wanita (HALWA) DUN Kupang serta Majlis Ketua Kampung.
Selain menyantuni penduduk dan mengambil maklum hal ehwal kehidupan mereka terutama dalam kalangan warga emas, uzur dan sakit, serta memerlukan bantuan, kehadiran tersebut juga menyerahkan sumbangan bakul makanan dan Beras Sejahtera.
Dato’ Najmi yang menziarahi enam keluarga, turut mengumumkan kelulusan sejumlah peruntukan untuk tiga keluarga bagi melaksanakan pembaikan dan pemulihan rumah kediaman mereka berikutan berada dalam keadaan serba daif.
“Projek membaik pulih rumah keluarga terlibat akan dilaksanakan secara gotong-royong. Terima kasih semua terlibat. Semoga Allah merahmati kita,” ujar beliau.
Ustaz Hassan selalu juga Yang Dipertua PAS Baling pula sempat berziarah ke sembilan keluarga dan berharap sumbangan diberi dapat meringankan beban perbelanjaan ditanggung keluarga terbabit dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.
“Bahagia yang paling manis adalah bila mana ada yang mendoakan kita sebagai tanda syukur di atas pertolongan dihulur,” ujar beliau.
Turut serta adalah Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parlimen (JPrP) Baling, Ustaz Saifuddin Tajudin dan Ketua Penerangan PAS Baling, Ustaz Roshidi Md Arof serta lain-lain pimpinan DUN dan Cawangan serta Ketua Kampung. – HARAKAHDAILY 22/7/2024












