Agensi agama Perlis dan Johor jalin kerjasama

- Advertisement -

KANGAR: Agensi-agensi agama negeri Perlis telah mengadakan lawatan ke negeri Johor bagi memperkukuh kerjasama dan memperkasa institusi agama yang berada di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan mengetuai delegasi bersama Ketua-Ketua Jabatan agensi agama negeri ke selatan tanah air itu minggu lalu.

Katanya, menerusi lawatan tersebut, beberapa dapatan penting diperoleh, termasuk usaha memperkasa Mahkamah Syariah dan bertukar pandangan serta idea untuk membantu golongan asnaf.

“Lawatan ini secara tidak langsung memberikan banyak manfaat dan membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama di masa hadapan antara Negeri Perlis dan Johor,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Pada lawatan tersebut, delegasi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Turut serta Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Md Noor.

Juga Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, Najmuddin Abdul Karim dan Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noor Hamizi Mohd Yaacob.

Menurut Azmir, pelbagai isu dan pandangan dibincangkan antara kedua-dua pihak yang sedikit sebanyak memberi pandangan jelas dalam melaksanakan kerja-kerja bermanfaat khususnya bagi Negeri Perlis.

Sempena lawatan tersebut, delegasi turut dibawa melawat galeri Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) yang menghimpunkan sejarah penubuhan jabatan itu hingga ke hari ini.

Azmir menyatakan kekagumannya terhadap galeri tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada JAIJ atas layanan mesra yang diberikan.

Delegasi atas titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail, turut berkunjung ke Yayasan Warisan Johor di mana dibawa melawat Pameran Lentera dan Seroja yang mempamerkan koleksi karya lukisan wanita dan Galeri Tenun Johor.

Di galeri tersebut, ia mempamerkan hasil tenunan songket yang dipakai oleh Tuanku Sultan Johor dan kerabat Istana Negeri Johor di mana Azmir turut diberi peluang menghasilkan karya sendiri di pameran ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -