
KUALA LUMPUR: Pengisian Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diisi dengan latihan ala ketenteraan sebagai persediaan kepada golongan muda.
Senator Hussin Ismail berkata, ia berdasarkan kepada kebimbangan tentang ancaman keselamatan negara seperti yang dinyatakan kerajaan.
“Saya mengambil sedikit content daripada ucapan menteri sebentar tadi berhubung dengan PLKN ini. Daripada soalan yang pertama tadi menyebutkan tentang kita diancam, kita kemungkinan berada di bawah ancaman pelbagai pihak daripada timur dan barat keselamatan negara.
“Tetapi oleh kerana PLKN ini memang sudah sedia pun ditubuh di bawah Kementerian Pertahanan Yang Berhormat Menteri, kenapa yang dikatakan kita sebutkan bahawa kita tidak terlibat dengan latihan ketenteraan?” soal beliau sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan kemungkinan modul asas ketenteraan diterapkan kepada peserta PLKN.
“Sekurang-kurangnya untuk asas ketenteraan bagi anak-anak muda ini supaya mereka juga nanti menjadi team pelapis yang besar dalam mempertahankan negara andainya berlaku apa-apa bencana ketenteraan gangguan luar,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat 70 peratus modul ketenteraan dalam latihan PLKN.
“Yang mana melalui modul ketenteraan itu kita mendedahkan realiti soal pertahanan dan keselamatan dalam negara kita,” ujarnya.
Mohamed Khaled sebelum itu, menjawab soalan Senator Dato’ Abdul Halim Suleiman yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah nilai tambah baharu yang ditawarkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 22/7/2024











