Yayasan Amal sedia ambulans khas pesakit wanita

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pesakit wanita di negeri ini yang memerlukan perkhidmatan ambulans untuk menjalani rawatan di hospital tidak perlu risau lagi.

- Advertisement -

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan menyediakan sebuah ambulans untuk kemudahan pesakit wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempstan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, perkhidmatan itu memberi kemudahan untuk memenuhi tuntutan pesakit wanita dari segi agama.

Katanya, perkhidmatan ambulans tersebut merupakan satu lagi program kebajikan Yayasan Amal Malaysia yang patut diberi pujian.

“Yayasan Amal ditubuh pada tahun 2001 dan kini mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh Malaysia.

“Saya juga terlibat dengan Yayasan Amal dengan program Dapur Rakyat setiap kali bencana banjir melanda Kelantan,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan semalam.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Amal Malaysia negeri, Dato’ Mohd Apandi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Hilmi juga berkata, selain Ambulans Amal (Wanita) Yayasan Amal Malaysia turut mengadakan misi bantuan di peringkat antarabangsa.

Antaranya kata beliau bantuan kemanusiaan ke Palestin, agihan naskhah al-Quran dan membina beberapa masjid di Afrika sehingga tahun 2025.

“NGO tersebut juga melaksanakan program Korban Amal di Chad, Sudan dan Uganda,” kataya.

Beliau turut berharap Yayasan Amal dapat mempelbagaikan lagi usaha membantu Kerajaan Kelantan berkaitan kebajikan, kesihatan dan kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -