
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan bagaimana Rang Undang-undang (Pindaan) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2024 dapat mengatasi isu kehilangan pekerjaan atau perniagaan berpunca daripada perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Senator Hussin Ismail berkata, perkembangan terkini teknologi tersebut yang sangat pantas dilihat memberi kesan kepada dunia pekerjaan dan perniagaan.
“Isu tentang pengangguran dan juga kehilangan pekerjaan akibat revolusi teknologi kecerdasan buatan ataupun artificial intelligent AI ini sangat memberi kesan langsung kepada perkembangan baru hari ini
“Yang pertamanya aspek teknologi AI ini mungkin akan menyebabkan transisi atau peralihan daripada segi pekerjaan yang sangat meluas sedang berlaku sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang (Pindaan) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2024 di Dewan Negara hari ini.
Malah, katanya, bukan hanya pekerja, tetapi majikan juga berisiko kehilangan perniagaan yang sedang mereka lakukan sehingga perniagaan mereka berisiko ditutup dan akhirnya pekerja juga akan hilang pekerjaan.
“Persoalan-persoalan mungkin timbul bagaimana kerajaan menangani isu ini kerana penganggurannya berlebihan, bakal mendatangkan kerugian kepada negara dalam konteks pembinaan generasi modal insan yang berkemahiran,” katanya.
Hussin juga meminta agar pihak kerajaan menjelaskan sama ada terdapat strategi dari sudut penyediaan program inisiatif atau kursus bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan kemajuan digitalitasi sistem AI itu.
Beliau turut berharap agar kerajaan dapat sama memikirkan tentang masalah yang dihadapi oleh majikan yang kini juga terbeban dengan banyak isu berkaitan kos lalu ditambah lagi dengan pelbagai keperluan baru yang perlu mereka bayar. – HARAKAHDAILY 22/7/2024











