
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sejauh mana penilaian menyeluruh berhubung peningkatan faedah kepada pekerja telah dijalankan dari sudut kewangan ke arah memastikan penggunaan dana yang lebih mampan tanpa meningkatkan kebergantungan kepada peruntukan tambahan fiskal kerajaan.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusof, berkata demikian merujuk kepada kenaikan had siling gaji pada 2022 daripada RM4,000 kepada RM5,000.
“Saya merujuk kepada Pindaan Fasal 2 Seksyen 5 siling gaji diinsuranskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada RM5,000 kepada RM6,000 tahun ini.
“Pindaan Jadual Keempat Akta 4 untuk memasukkan kadar caruman baharu dan gaji bulanan yang bersamaan bagi bulan itu apabila gaji seseorang pekerja melebihi RM5,000 dan RM6,000.
“Persoalan saya apakah justifikasi kerajaan menaikkan RM1,000 selepas dua tahun iaitu pada kali terakhir kenaikan pada tahun 2022. Adakah nilai kenaikan ini akan ditambah lagi dalam masa dua tahun ke hadapan. Kenapa tidak dinaikkan pada satu nilai yang lebih tinggi. Oleh itu kita tidak perlu meminda RUU ini terlalu kerap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024, di Dewan Negara, hari ini.
Martina turut menyokong pindaan akta 4 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial yang akan meningkatkan faedah tertentu yang diterima oleh pekerja.
“Pindaan ini memberi peluang kepada pekerja-pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 mendapat faedah yang lebih baik sekiranya mereka ditimpa bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024











