
JERLUN: Sumbangan khairat kematian atau iKafalah merupakan bantuan kerajaan negeri kepada setiap kematian membabitkan rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.
Setiap pemohon akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 yang boleh dimanfaatkan bagi urusan kematian melibatkan kaum keluarga mereka.
Bantuan itu yang diperkenalkan dengan pemberian RM250 itu, telah dinaikkan ke RM300 pada tahun 2020 dan kemudiannya dinaikkan lagi ke RM500 bagi setiap permohonan bermula Mac 2023.
Pemohon hanya perlu mengajukan permohonan mereka melalui ADUN atau Penyelaras DUN masing-masing dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kematian dengan mengemukakan dokumen berkaitan.
Bantuan khairat kematian ini telah diperkenalkan semasa negeri ini di bawah pentadbiran Menteri Besar Kedah Ke-10, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Ketika itu bantuan tersebut yang berjumlah sebanyak RM500 dinamakan Skim Kafalah dan diberikan kepada pemohon dalam kalangan golongan berpendapatan rendah yang mendaftar dengan e-Sinar.
Skim Kafalah ketika itu juga tidak menghadkan fahaman politik, agama, kaum mahupun bangsa, asalkan meeka adalah rakyat Kedah yang layak.
Namun, perancangan menaikkan jumlahnya ke RM700 tidak kesampaian apabila kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) tidak dapat bertahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.
Sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) mengambil alih Kedah, skim tersebut dimansuhkan dan diganti dengan Khairat Kematian yang memberi bantuan hanya RM250.
Pun begitu, dalam tempoh lima tahun BN mentadbir Kedah sebelum diambil alih Pakatan Harapan pada PRU14, bantuan itu seolah-olah tidak wujud dan kurang meluas penyalurannya.
Wujud laporan pada ketika itu menyatakan hampir RM9 juta bayaran sepatutnya kepada seramai 32,811 waris si mati melalui khairat kematian yang dijanjikan tidak ditunaikan.
Di Kedah semenjak 2014 hingga Julai 2017 mencatatkan kes kematian seramai 40,208 kematian, namun hanya 7,397 kes sahaja yang dibayar khairat kematian ketika itu.
Sementara bertempat di PKWR Ayer Hitam baru-baru ini, seramai 67 pemohon menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.
Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan iBAKIPT iaitu Bantuan Awal Kemasukan Institusi Pengajian Tinggu (IPT) kepada empat pelajar yang akan menyambung pelajaran.
“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan para penerima,” katanya.
Manakala ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin segera menyampaikan sumbangan iKafalah tersebut kepada waris ketika menziarahi kematian Md Lazim Shafie di Kampung Pong Manis, Padang Terap, hari ini.
“Semoga roh beliau ditempatkan bersama orang yang beriman dan diterima segala amal baiknya. Takziah ke atas ahli keluarga di atas pemergiannya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024












