
GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Md Radzi Jidin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk diangkat sebagai calon mewakili PN.
“Insya-Allah dalam masa terdekat dan kita sedang melalui proses yang perlu dilalui dahulu dan bila tiba masanya kita akan buat pengumuman, penamaan calon 3 Ogos lambat lagi.
“Bila sampai masanya kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PN di Pusat Tarbiah Limau Kasturi, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Putrajaya itu turut ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan keputusan parti itu masih menggunakan logo bulan pada PRK Nenggiri.
Menurutnya, PN masih mengekalkan keputusan sama yang pernah digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.
“Itu merupakan keputusan yang dilaksanakan sewaktu PRN tempoh hari, kita menggunakan logo PAS hanya di Terengganu dan Kelantan sahaja.
“Dan itulah juga yang kita laksanakan di PRK Nenggiri yang merupakan salah satu DUN di Kelantan, jadi kita tetap terus keputusan seperti dibuat sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024











