Bersatu ada mekanisma elak ‘pisang berbuah dua kali’

Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menyantuni masyarakat di sebuah warung dekat stesen kereta api lama Gua Musang, petang semalam dalam perjalanan menghadiri majlis ceramah di Limau Kasturi.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai mekanisma sendiri bagi memastikan semua wakil rakyat parti itu tetap patuh terhadap keputusan parti.

- Advertisement -

Bagaimanapun Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin tidak memperincikan kaedah tersebut sama ada seperti PAS yang melakukan bai’ah kepada semua calon wakil rakyat.

“Itu merupakan proses dalaman parti dan kita akan laksanakan yang terbaik dan kita akan pastikan sebaik mungkin, pisang tidak akan berbuah dua kali dah kali ini.

“Ia proses dalaman parti untuk kita pastikan kita buat yang terbaik dan akan usahakan supaya tindakan bagi sokongan dan lompat parti tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PN sempena PRK Nenggiri di Pusat Tarbiah Limau Kasturi malam tadi.

Turut hadir Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob;  Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Habidin Hanipa mencadangkan supaya kerusi tersebut diserahkan kepada PAS untuk bertanding pada PRK itu. – HARAKAHDAILY 21/7/2024

- Advertisement -