
KUALA LUMPUR: Lajnah Dakwah PAS Pusat telah melaksanakan program Nadwah Pemerkasaan Du’at yang melibatkan anggota lajnah setiap negeri, dewan-dewan dan kawasan-kawasan seluruh negara di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), kelmarin.
Pengarah program, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, program tersebut diadakan bagi tujuan memberi kefahaman kepada petugas parti bahawa setiap Muslim adalah pendakwah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.
Katanya, beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang berpengalaman dalam dunia dakwah turut dijemput membentangkan kertas kerja dan berkongsi pengalaman.
Menurutnya, antara yang hadir adalah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan At Tantawi, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dan Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Dr Ann Wang Seng.
Tambahnya lagi, para peserta yang mengikuti program didedahkan dengan pelbagai cara untuk mendekati semua masyarakat, antaranya melalui cara bijaksana, pendekatan memujuk serta pendekatan suri teladan yang baik, bersifat kasih sayang dan pemurah.
Katanya, program yang diadakan itu padat dan sarat dengan pengisian yang bermanfaat kepada para peserta.
“Para pendakwah hendaklah mempunyai akhlak terpuji, berjiwa kental, sabar, bersungguh-sungguh dan berlapang dada apabila berhadapan dengan segala situasi yang penuh cabaran pada masa kini.
“Rumusan dari program ini, semua kepimpinan parti dan para amilin yang menyertai hendaklah mengagendakan dakwah, selain tarbiah dan siasah,” katanya.

Program itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah manakala majlis penutup pula disempurnakan oleh Datuk Idris Ahmad. – HARAKAHDAILY 21/07/2024











