PMX, kami rakyat marhaen menanti janjimu

- Advertisement -

ORANG Sabah termasuk saya antara yang paling gembira apabila PMX bertinta dan berjanji untuk menoktahkan miskin tegar sebelum pengujung Julai 2024 di negeri tercinta kami.

- Advertisement -

“Kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di Sabah ini sebelum akhir julai 2024,” demikian janji PMX yang disiarkan oleh media arus perdana.

Apa tidaknya, PMXlah satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang pertama di dunia ini yang berani berjanji sedemikian rupa.

Janji itu pula dilemparkan semasa rakyat Sabah dan para pembesar negeri sedang berhimpun dalam Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pada 31 Mei, baru-baru ini. Suatu majlis yang dikira tepat untuk melontarkan janji keramat itu demi menonjolkan kehebatan kepimpinannya.

Kita tidak pasti apakah PMX dalam keadaan sedar, terlupa atau sedang bermimpi bahawa tempoh antara Mei hinga Julai itu hanya berbeza dua bulan sahaja. Memang luar biasa janji keramat ini.

Rakyat bertanya, pelita ajaib apa yang mahu digunakan oleh PMX untuk membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh yang sangat singkat itu. Atau ada lagi formula baharu yang akan digunakan sebagaimana laungan ‘kita ada formula’ untuk menurunkan harga minyak suatu masa dulu sebelum menjadi kerajaan.

Ada telahan daripada rakyat bawahan bahawa PMX barangkali ingin menghina rakyat Sabah yang selama ini sering dianaktirikan oleh Persekutuan dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat sekali gus ingin menjadi ‘hero’ penyelamat kepada rakyat Sabah.

Ada pula telahan dan mencabar PMX untuk turun sendiri ke beberapa buah daerah di Sabah untuk menyaksikan sendiri apa yang dijanjikannya itu boleh menjadi realiti atau hanya omong kosong.

Bukankah PMX adalah pejuang golongan marhaen sejak di universtiti lagi. Mungkin inilah masa terbaik untuk membuktikannya.

Hari ini, 21 Julai 2024, ertinya berbaki 10 hari lagi sebelum melangkah ke bulan Ogos 2024. Rakyat Sabah masih setia dan penuh debaran menunggu keajaiban berlaku sebagaimana yang telah dijanjikan oleh beliau.

Atau barangkali detik ini seluruh warga yang dikatakan miskin tegar itu telah pun bebas dan memiliki kehidupan yang lebih baik.

Anak-anak tidak perlu lagi berjalan kaki ke sekolah dengan jalan yang becak pada musim hujan dan berdebu pada musim kemarau. Tidak perlu lagi memakai pakaian yang lusuh dan kini semuanya serba baharu.

Hari ini hasil tanaman dari kebun sudah boleh dipasarkan dan memperoleh hasil untuk membeli beras dan keperluan harian.

Rumah-rumah yang bertiangkan kayu yang rapuh, dinding yang berlubang serta atap yang bocor semuanya telah berganti.

Ketika ini mereka melemparkan senyuman manis dan berwajah ceria. Tiada lagi keperitan dan duka nestapa serta kerutan di dahi dek bahagianya hidup di bawa Malaysia Madani.

Harap-harap ‘kita ada formula’ dan lampu ajaib Aladin tidak memperdayakan rakyat Sabah kali ini.

Namun kami tetap setia menanti dan janji manismu menjadi realiti. – HARAKAHDAILY 21/7/2024

Penulis ialah Setiausaha PAS Negeri Sabah.

- Advertisement -