
KOTA BHARU: Tragedi yang menimpa pempengaruh Rajeswary atau Esha yang meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber dan Nur Farah Kartini Abdullah yang terkorban dibunuh menunjukkan penyakit sosial semakin meruncing di negara ini.
Dua kejadian terakhir yang dijadikan contoh itu menunjukkan betapa seriusnya isu ‘penyakit sosial’ dalam kalangan masyarakat dan ianya memerlukan tindakan segera daripada semua pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kejadian negatif berkenaan bertolak dari beberapa faktor antaranya jauh dari pegangan agama, kelonggaran undang-undang juga antara sebab pelaku berani bertindak sedemikian.
“Lemahnya penguatkuasaan undang-undang sering kali memberi peluang kepada penjenayah untuk terus melakukan kesalahan.
“Kajian oleh Institute of Strategic and International Studies (ISIS) menunjukkan bahawa kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan penjenayah tidak takut untuk mengulangi kesalahan mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekerapan kes jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini khususnya yang melibatkan pempengaruh Esha dan Nur Farah Kartini.
Menurutnya, Eisha seorang remaja yang aktif di media sosial, menjadi mangsa buli siber yang berterusan kerana ketiadaan undang-undang tegas dan penguatkuasaan yang lemah menjadikan kes seperti itu semakin meningkat.
“Laporan oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) menunjukkan kes buli meningkat sebanyak 25 peratus pada tahun 2023.
“Kes ini menunjukkan betapa bahayanya buli siber dan kesannya terhadap kesihatan mental mangsa, yang akhirnya membawa kepada tragedi yang menyedihkan,” ujarnya lagi.
Firdaus yang juga Naib Ketua Pemuda PAS negeri berkata, kes ini menunjukkan masalah mental dan sosial bukan hanya terbatas kepada golongan biasa, tetapi melibatkan individu dalam posisi berkuasa.
Tambahnya, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, penyakit mental yang tidak dirawat boleh menyebabkan individu terlibat dalam aktiviti jenayah atau membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Menurutnya, dalam konteks Islam, tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan sangat ditekankan.
Katanya, bukan sahaja kes berkenaan, sebaliknya jenayah yang melibatkan pihak lain juga turut menggambarkan keparahan penyakit sosial yang perlu ditangani oleh semua pihak, khususnya kerajaan.
Firdaus turut menggariskan beberapa kaedah bagi mengurangkan kejadian tersebut antaranya, pendidikan agama dan moral mesti dititik beratkan untuk memastikan generasi muda mempunyai pegangan agama.
Selain itu katanya, komuniti sokongan perlu diwujudkan di peringkat tempatan bagi individu yang menghadapi masalah sosial dan mental untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan. – HARAKAHDAILY 21/7/2024











