
KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 aduan telah diterima daripada orang awam mengenai kes penipuan ‘scammer’ yang menggunakan nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sejak Januari lalu, aduan kes penipuan ini telah melibatkan negeri Sabah sebanyak 13 kes, Johor (7), Terengganu (5), Labuan, Pahang dan Selangor masing-masing 3 kes manakala Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis masing-masing 1 kes.
“Antaranya kes mengenai pemberian tender pembekalan seperti makanan bermasak, bahan mentah, tayar dan minyak enjin kenderaan serta jentera.
“Selain itu juga, pengeluaran surat pesanan makanan palsu yang menggunakan nama Ktua Bomba atau Pengarah Bomba Negeri,” kata JBPM dalam satu kenyataan semalam.
JBPM memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai kes-kes penipuan menggunakan nama jabatan seperti dilaporkan media.
Pihak JBPM juga menyerahkan sepenuhnya perkara terbabit kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Untuk makluman, setiap perolehan bernilai RM50,000 dan ke bawah wajib melalui sistem pelawaan harga ePerolehan kerajaan.”
“Bagi rundingan terus bernilai RM50,000 dan ke atas perlu mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan tanpa. Membabiykab orang ketiga atau sebarang bayaran pendahuluan.” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, JBPM memandang serius perkara itu dan semua mangsa yang terbabit sufah dinasihatkan untuk membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.
Dengan itu juga, pihak JBPM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pemberian kontrak pembekalan khususnya bagi kontrak secara perolehan terus yang menggunakan nama JBPM.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, individu yang dihubungi pihak tertentu yang membuat tawaran menggunakan nama JBPM boleh merujuk Ibu Pejabat Bomba Negeri atau balai-balai bomba terbabit untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024











