
KUALA LUMPUR: Video promosi George Town Festival 2024 yang tular dalam kalangan netizen baru-baru ini di laman media sosial telah mendapat reaksi negatif terhadap DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Menerusi analisis yang dilakukan oleh QGenAnalysts mendapati, 99 peratus komen di TikTok dan Facebook adalah negatif, dengan majoriti netizen menganggap permohonan maaf penganjur hanyalah sekadar ‘scripting’ dan mendakwa bahawa perkara ini memang disengajakan.
Komen-komen di laman Facebook yang mencecah sebanyak 18,000 komen mempunyai sentimen yang sama dengan laman TikTok, di mana kritikan keras menyatakan tindakan penganjur sengaja mengabaikan sensitiviti kaum Melayu.
Di laman X pula, sebanyak 1,000 komen dengan 99 peratus adalah negatif, dengan pandangan bahawa video tersebut mencerminkan sikap sebenar DAP dan dianggap sebagai strategi berulang yang hanya meminta maaf selepas kontroversi timbul.
Terdahulu, tular klip video ‘teaser’ berhubung sambutan George Town Festival 2024 kerana dikatakan telah mengabaikan kaum Melayu dengan tidak menonjolkan budaya Melayu dalam video berkenaan.
Pihak yang menganjurkan festival berkenaan bagaimanapun telah memadam klip video berkenaan di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi YouTube George Town Festival selepas mendapat kecaman netizen.
Isu ini mula mendapat perhatian selepas laporan oleh media tempatan mengenai bantahan NGO Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) terhadap video yang dianggap mengabaikan budaya Melayu pada 15 Julai lalu.
“Sentimen netizen terhadap video George Town Festival 2024 menunjukkan majoriti reaksi adalah negatif, dengan kebanyakan komen memfokuskan kepada ketidakpuasan terhadap penganjur dan keresahan dalam kalangan kaum majoriti.
“Komen-komen tersebut menekankan isu rasis dan menganggap tindakan penganjur sebagai mengabaikan sensitiviti kaum Melayu,” kata QGenAnalysts dalam analisis tersebut. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











