Hukuman balas terhadap pembunuh Nur Farah Kartini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh menuntut agar keadilan dapat ditegakkan buat Nur Farah Kartini Abdullah, yang telah mati dibunuh baru-baru ini.

- Advertisement -

Menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya, beliau berkata, penjenayah yang telah membunuh Allahyarham Nur Farah Kartini perlu diberikan hukuman balas terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu agar keadilan dapat ditegakkan buat mangsa.

“Tidak dapat digambarkan betapa tergamaknya pelaku melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan terhadap mangsa,” katanya.

Negara sebelum ini dikejutkan dengan berita kehilangan Nur Farah Kartini, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya ditemukan mati pada 15 Julai lalu di kawasan tidak jauh dari FELDA Gedangsa, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang dipercayai akibat dibunuh oleh individu yang dikenali mangsa.

Susulan daripada itu, media tempatan melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan, sebelum mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -