Tandatangan petisyen bantah konsert Bruno Mars

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyuarakan bantahan terhadap konsert Bruno Mars yang akan diadakan pada 17 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

- Advertisement -

Presidennya, Imran Sulaiman berkata, penyanyi Bruno Mars adalah seorang penyokong Zionis Israel.

Terdahulu, penyanyi tersebut secara terang-terangan menunjukkan sokongan terhadap Zionis Israel dengan menyatakan kecintaannya kepada rakyat Israel sewaktu membuat konsert di Tel Aviv pada Oktober tahun lalu.

“Kami percaya bahawa sebagai masyarakat yang berpegang kepada prinsip keadilan dan kemanusiaan, adalah penting untuk kita mengambil pendirian yang tegas terhadap sebarang bentuk sokongan kepada rejim Zionis yang menindas rakyat Palestin.

“Dengan menghadiri atau menyokong konsert beliau, secara tidak langsung kita mungkin menyokong tindakan yang bertentangan dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Imran berkata, pihaknya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin untuk menandatangani petisyen ‘Bantah Konsert Bruno Mars’ sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Marilah kita bersama-sama menunjukkan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam isu keadilan dan hak asasi manusia.

“Tandatangan petisyen ini di change.org/bantahkonsertbrunomars dan sebarkan mesej ini kepada keluarga dan rakan-rakan anda,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -