
KUALA LUMPUR: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (MPM) tahun 2023 akan dikeluarkan pada 23 Julai 2024 (Selasa).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihaknya, sebanyak 41,548 calon telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun lepas di 657 buah pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan sebanyak 16,387 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini.
Calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan, swasta dan persendirian individu boleh mendapatkan keputusan masing-masing melalui dua kaedah, iaitu secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM<jarak>No.K/P<jarak>Angka Giliran dan hantar ke 15888 untuk mendapatkan ringkasan keputusan.
Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 11.00 pagi pada 23 Julai 2024 (Selasa) sehingga jam 12.00 tengah hari pada 30 Julai 2024 (Selasa).
Kaedah kedua untuk mendapatkan keputusan ialah dengan secara dalam talian di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan STPM 2023 mulai jam 11.30 pagi pada 23 Julai 2024 (Selasa).
“MPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon STPM Tahun 2023,” katanya menerusi kenyatan itu. -HARAKAHDAILY 19/7/2024












