
NEW DELHI: Seorang lelaki yang terperangkap di dalam lif di sebuah hospital kerajaan di Kerala, India selama dua hari tanpa disedari sesiapa pun, lapor laman berita Independent semalam.
Ravindran Nair, 59, terperangkap ketika dia menggunakan lif Blok OPD untuk pergi ke tingkat atas bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
Difahamkan, lif yang dinaiki ketika itu, sebaliknya turun ke tingkat bawah sebelum ia berhenti dengan tiba-tiba.
Sementara itu, isteri Ravindran yang menyedari kehilangan suaminya pada hari Sabtu dan keluarga Ravindran telah membuat laporan polis pada malam Ahad.
“Dia menjerit meminta tolong, tetapi tiada sesiapa yang datang dan telefonnya juga mati,” kata polis yang dilapor media dan dipetik The Gulf.
Akhirnya, Ravindran diselamatkan pada hari Isnin oleh seorang pekerja operator yang melakukan pemeriksaan rutin dengan membuka lif yang dipercayai lif tersebut berhenti bergerak ketika berada di antara dua aras.
Ravindran juga meluahkan bahawa dirinya berada di dalam lif yang tidak mempunyai lampu dan kipas. Dia juga telah menekan loceng kecemasan namun, tiada sesiapa yang membantunya.
“Saya membuang air kecil di satu sudut. Ada masanya, saya menangis dengan kuat. Saya tidak dapat tidur. Apabila saya berasa dahaga atau lapar, saya hanya menjilat bibir,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan Negeri, Veena George berkata, sisatan susulan akan dilakukan berkenaan dengan insiden itu dan pengurusan hospital yang tidak menyedari insiden itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











