
KANGAR: Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis berpotensi besar menarik kunjungan masyarakat dari Songkhla, Thailand, demikian titah pandangan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis telah mendapat pengiktirafan dari Malaysian Institute of Planners (MIP) Planning Excellence Awards: President’s Award 2022 (Kategori Projek).
“Perlis Geopark telah mendapat penilaian 92.96 peratus dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut terlibat dalam penyelarasan komuniti Kampung Warna Warni di Seberang Ramai.
“(Iaitu) Di bawah Sub Geopark – Kampung Tradisi Nelayan, yang mendapat penilaian tertinggi di Malaysia,” titah baginda ketika ke Hatyai, Thailand baru-baru ini.
Baginda bersama Keluarga Diraja ke Selatan negara jiran itu dan berkenan melancarkan promosi masakan Perlis berupa ‘Kurma Daging Perlis’ di restoran Yeemeen Food Garden, Hatyai.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh pihak restoran dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Faiziah (YTF), TTG Kuala Lumpur dan Restoran Miza Kampung Gial Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, disambut pemilik restoran, Armeen Binyeeelee. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











