MB tinjau lokasi kejadian ribut di Marang

- Advertisement -

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang meninjau lokasi kejadian ribut yang melanda kawasan rekreasi Pantai Pulau Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Selain 10 kedai di Pantai Pulau Kekabu yang terkena bencana, sebanyak 96 buah rumah di kawasan sekitar turut terjejas akibat dibadai ribut.

Samsuri berkata, pihaknya akan menilai segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa.

“Tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak.

“Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.

“Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan.

“Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera,” katanya.

Katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.

Sementara itu, seorang mangsa ribut, Siti Aisyah Mohamed, 24, berkata ketika kejadian dia dan suaminya, Kamarul Bahrim Kamarulzaman, 28, sedang berehat bersama tiga anak mereka termasuk bayi lelaki berusia 37 hari.

Katanya, ketika itu dia hanya mampu berdoa sambil memeluk tiga ananya apabila rumah mereka bergegar dan atap diterbangkan angin kuat.

“Suami bergegas membawa kami keluar ke tempat lebih selamat bagi mengelak ditimpa serpihan atap dan kayu yang diterbangkan angin.

“Saya pula masih dalam pantang…tak boleh nak bergerak cepat. Memang sangat cemas dan tak putus-putus berdoa supaya dijauhi bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -