
MARANG: Keputusan menggantungkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat disifatkan seolah-olah sistem negara kembali ke zaman dahulu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu jelas memperlihatkan ketidakadilan yang berlaku.
“Sepatutnya beliau (Ahmad Fayhsal) diberi hak untuk bercakap tetapi dinafikan hak berkenaan. Isu yang dibangkitkan juga boleh diambil tindakan dengan cara yang lain sekiranya didapati melakukan kesilapan.
“Kita ada banyak jawatankuasa-jawatankuasa hak dan sebagainya yang boleh diambil pendekatan untuk melakukan teguran dan sebagainya,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang parlimen selama enam bulan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan.
Surat layang tersebut berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.
Samsuri mempersoalkan kenapa perlu disenyapkan Ahli Parlimen Machang dengan menggantungkan selama enam bulan.
“Saya tak faham, apakah ini bentuk sistem demokrasi yang kita hendak bawa Malaysia untuk maju ke depan di masa yang akan datang, ini seolah-olah kita balik ke belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











