‘Jadi dia boleh bising, itu biasalah dalam pilihan raya’

- Advertisement -

MARANG: PAS yakin boleh mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan keyakinan berdasarkan hasil daripada tinjauan yang dilakukan oleh parti itu selepas DUN Nenggiri dikosongkan.

“Kita sudah turun ke DUN Nenggiri sebaik sahaja berlaku kekosongan itu dengan melakukan pelbagai aktiviti tinjauan.

“Hasil daripada dapatan yang kita buat itu, kita mendapati dan ditambah lagi dengan momentum daripada Sungai Bakap, insya-Allah kita boleh mengekalkan kemenangan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini. Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa. (Foto atas)

Mengulas berhubung Umno mencabar untuk meletakkan calon bukan daripada Bersatu di DUN Nenggiri, beliau berkata, PAS mempunyai formula dan kriteria sendiri.

“Apa dia nak sibuk-sibuk ikut kitalah nak letak siapa calon, orang mana, siapa, umur berapa, kerja apa itu atas kita berdasarkan pertimbangan kita untuk mengekalkan kemenangan di DUN Nenggiri.

“Jadi dia boleh bising-bising itu biasalah dalam pilihan raya masih ingin buat psywar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, gabungan itu dijangka mengumumkan calon beberapa hari sebelum penamaan pada 3 Ogos depan.

Beliau berkata, setakat ini, PN tidak membuat keputusan untuk mengumumkan calon lebih awal seperti dilakukan Umno.

Pada 28 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd. Azizi diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu menyaksikan Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket PAS menang dengan majoriti 810 undi.

Beliau yang memperoleh 6,517 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Ab. Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -