Mogok lapar M Mytheyar bukan bersifat kepentingan diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tujuan mogok lapar yang dilakukan oleh seorang aktivis pro-Palestin, M Mytheyar bukan untuk kepentingan diri semata-mata.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, Mytheyar telah mula melakukan mogok lapar pada hari Rabu (10 Julai) yang lalu sehingga semalam.

“Tujuannya adalah satu sahaja iaitu membuka mata pihak kerajaan supaya menghentikan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang bakal dikuasai BlackRock Inc,” katanya ketika sidang media yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini. (Foto atas)

Menurut beliau, tujuan Mytheyar untuk datang ke IPD Dang Wangi pada hari ini adalah untuk membuat laporan polis berhubung komen-komen yang mengandungi kata-kata kesat dan berbau fitnah yang dilemparkan terhadapnya ketika melakukan mogok lapar tersebut.

Tambah beliau, terdapat juga komen yang berbentuk ugutan bunuh terhadapnya dan perkara tersebut adalah jelas bersifat keterlaluan.

“Antara kenyataan yang dilakukan oleh para pempengaruh dan penyokong kerajaan ialah Mytheyar melakukan mogok lapar kerana hanya mahu wang iaitu dengan menggunakan QR Kod untuk kutip derma semata-mata.

“Hakikatnya, QR Kod tersebut bukanlah bersifat kutip derma tetapi milik NGO Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) yang hanya untuk memberi kesedaran mengenai isu Palestin semata-mata.

“Antara pihak yang melakukan posting berbentuk fitnah tersebut telah dinamakan oleh Mytheyar dalam laporan polis tersebut.

“Bagi saya, perkara sebegini adalah berlebihan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.

Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli Parlimen.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan.

Rafique juga menggesa mana-mana pihak supaya menghentikan segala bentuk buli siber terhadap Mytheyar.

Kata beliau lagi, laporan polis tersebut dilakukan supaya dapat memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang suka melakukan fitnah dan ancaman terhadap Mytheyar.

“Alhamdullillah pihak polis telah pun memberikan kerjasama yang baik dan saya nasihatkan kepada semua orang supaya jangan sesekali suka menyebarkan fitnah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -