
KUALA LUMPUR: “Saya cabar mana-mana pihak yang membuat fitnah supaya mari bersama-sama mogok lapar dalam masa 10 hari lagi,” kata aktivis pro-Palestin, M Mytheyar.
Katanya, sudah terlalu banyak fitnah yang ditimbulkan oleh beberapa pihak berhubung mogok lapar yang dilakukannya selama 200 jam.
“Saya faham bahawa kita mempunyai perbezaan pandangan tetapi jangan sampai suka menyebarkan fitnah sana sini,” katanya ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Menurutnya, tujuan mogok lapar dilakukan pada hari Rabu (10 Julai) yang lalu hanya untuk memberi kesedaran kepada setiap rakyat mengenai bahaya pelaburan syarikat BlackRock dalam negara ini.
Tambah beliau, syarikat tersebut adalah jelas bersifat pro-Zionis dan tidak sepatutnya kerajaan menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners milik mereka.
“Sudah terlalu banyak fitnah yang saya terima ketika melakukan mogok lapar ini yang mana antaranya ialah berbau kata-kata kesat dan fitnah.
“Malah, saya juga menerima ugutan bunuh lagi dalam komen tersebut walhal tujuan saya hanya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya tolak syarikat BlackRock.
“Akan tetapi, saya juga membuat laporan polis mengenai perkara ini supaya memberi pengajaran kepada semua orang supaya jangan suka menyebarkan fitnah sana sini,” ujarnya.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.
Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.
Sehubungan itu, Mytheyar mengajak orang ramai supaya mengetepikan sebarang perbezaan pandangan dan meneruskan boikot terhadap pelaburan syarikat BlackRock.
“Jadi saya menggesa orang ramai supaya jangan lagi menyokong apa jua syarikat yang jelas menunjukkan sokongan terhadap rejim Zionis Israel.
“Kita harus ingat bahawa apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin juga boleh berlaku terhadap negara kita sekiranya perkara sebegini terus dibiarkan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan tiada apa-apa hutang pun dalam melakukan mana-mana protes demi Palestin termasuk mogok lapar.
Mytheyar berkata demikian terhadap segelintir pihak yang mendakwa dirinya melakukan mogok lapar hanya untuk mengutip wang derma semata-mata.
“Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mana-mana pihak yang inginkan kebenaran boleh siasat saya mengenai perkara ini,” katanya.
Menurutnya, isu pelaburan BlackRock dalam lapangan terbang negara ini adalah jauh lebih penting kerana melibatkan keselamatan negara.
Tambahnya, perkara tersebut yang seharusnya diberi keutamaan berbanding mencari segala bentuk kesalahannya yang jelas merupakan satu perkara yang sia-sia.
“Orang yang memfitnah saya mempunyai hutang adalah kes dua tahun lepas dan maklumat tersebut bukan sahaja salah tetapi tidak ada kena mengena dengan isu mogok lapar ini.
“Kalau betullah pun saya ada melakukan sebarang kesalahan maka siasat betul-betul dan jangan main sebarang fitnah sahaja.
“Lagipun, bagi saya sesiapa yang nak siasat isu saya ini maka buat verifikasi betul-betul dalam apa yang saya katakan supaya semua orang boleh nampak kebenarannya.
“Bagi saya, isu BlackRock ini jauh lebih besar kerana melibatkan keselamatan negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











