
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan perancangan untuk menjadikan Pulau Satu Forest City sebagai pulau bebas cukai tidak menjejaskan kepentingan penduduk tempatan.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, perkara itu perlu diteliti secara mendalam berdasar pengalaman Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, Kelantan.
Katanya, berdasarkan pengalaman kawasan bebas cukai turut terdedah berlaku aktiviti haram dan penyeludupan.
“Kita juga perlu memastikan insentif yang diberi seimbang dan tidak memberi kelebihan terutama kepada pelabur sehingga menjejaskan kepentingan penduduk tempatan,” ujarnya ketika membahas Rang Undang-undang Akta Kastam 1967 (Pindaan) bagi memasukkan peruntukan cukai khas di Pulau Satu Forest City di Dewan Rakyat, hari ini.
Kata beliau juga kerajaan perlu menjelaskan sejauh mana kajian impak sosial ekonomi yang dijalankan di Pulau Satu termasuk aspek pembangunan sosioekonomi dan pekerjaan.
Katanya data impak sosio-ekonomi yang dijalankan perlu memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi tempatan, peluang pekerjaan serta pelindungan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Apakah langkah-langkah proaktif yang diambil untuk membantu golongan nelayan yang berada sekitar Tanjung Kupang yang terkesan akibat projek Forest City.
“Sejauh mana langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan integriti terutama pegawai-pegawai penguatkuasa di Forest City dan penggunaan teknologi canggih,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











