
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan berkenaan sama ada mendirikan pusat perjudian bebas cukai di zon bebas cukai Pulau Satu Forest City seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg termasuk dalam kuasa menteri meluluskannya.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, ini berikutan Seksyen 91 AH memberi menteri kuasa membuat peraturan untuk memperuntukkan perkara berhubung Pulau Satu Forest City.
“Mohon pencerahan apakah peraturan-peraturan yang terlibat dan menteri berkuasa penuh menentukannya.
“Setujukah menteri kesan kasino kepada kehidupan rakyat yang terlibat lebih mendatangkan impak negatif,” ujar beliau.
Salamiah mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Eksais (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan digesa menyatakan anggaran perbelanjaan kerajaan untuk melaksanakan RUU itu sepenuhnya.
Selain itu, kerajaan perlu memberikan penjelasan berkenaan pemilihan Pulau Satu Forest City di Johor Bahru sebagai kawasan bebas cukai sedangkan hak milik tanah adalah di bawah kerajaan negeri Johor.
Beliau juga bertanya adakah apabila dijadikan kawasan bebas cukai, tanah milik Forest City akan dijual dengan bebas kepada semua warga asing.
“Apakah unjuran pendapatan yang akan diperolehi daripada pindaan akta ini. Berapa peratus hak pemilikan tanah diperuntukkan kepada warganegara Malaysia khususnya bumiputera?
“Jenis barang yang berduti eksais termasuklah minuman bergula, minuman keras, rokok, tembakau dan keluaran tembakau, kenderaan bermotor dan daun terup dan juga mahjung,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan MUslimat PAS Malaysia.
Salamiah juga ingin tahu berapa peratus sumbangan duti eksais dalam berpendapatan negara 2022-2023.
“Adakah vape atau yang sama dengannya boleh dimasukkan dalam status rokok,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











