Ketirisan hasil: Kenal pasti kelemahan sedia ada

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara sering kali terdedah dengan isu ketirisan hasil cukai akibat sindiket penyeludupan, pengimportan dan penjualan barangan.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, baru-baru ini, seramai 34 anggota dan pegawai kastam bersama 27 individu dan pemilik syarikat ditahan kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan arak serta rokok seludup, menyebabkan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

“Persoalannya, adakah kerajaan mengenal pasti kelemahan dalam mana-mana perundangan dan aktiviti penguatkuasaan yang sedia ada untuk memastikan langkah penguatkuasaan serta pengawasan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan ketirisan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Amzad turut menyentuh berkenaan Seksyen 91AF bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi layanan duti eksais di Pulau Satu yang berkaitan dengan pengilangan, pengimportan, dan pengangkutan barang-barang.

Beliau berkata, tatacara eksais, khususnya yang berhubung dengan pembayaran duti eksais dan kewajipan untuk menyimpan rekod berkaitan perkara eksais, perlu diperkemaskan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan.

“Justeru, penting untuk meningkatkan penguatkuasaan pegawai eksais dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh ketelusan,” katanya.

Kata beliau, perkara itu penting diambil perhatian kerana ia melibatkan isu akauntabiliti dan ketelusan yang boleh menjejaskan nama baik jabatan.

“Apakah mekanisme yang diambil untuk mencegah salah guna kuasa dan rasuah, serta langkah untuk memastikan tadbir urus yang baik, kompetensi, dan ketelusan dalam kalangan anggota jabatan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -