
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara diminta menyatakan usaha proaktif bagi menambah koleksi khazanah negara dalam bentuk digital.
Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, proses pendigitalan itu melibatkan pengumpulan, pemeliharaan dan penyebaran bahan bersejarah.
“Dalam usaha membudayakan zaman perkongsian sumber ini apakah usaha proaktif bagi menambah koleksi khazanah negara dalam bentuk yang boleh diakses pada bila-bila masa dengan mengambil kira perubahan demografi penduduk.
“Seterusnya adakah terdapat usaha dan cadangan daripada pihak kementerian untuk mendapatkan kembali manuskrip asal yang terdapat di luar negara secara digital,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mastura dalam soalan asal meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan berapa jumlah perpustakaan digital berdaftar di seluruh negara dan perkhidmatan yang ditawarkan; dan inisiatif dan strategi Kementerian untuk menarik minat anak muda mendekati perpustakaan digital ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, terdapat sebanyak lima cadangan inisiatif tranformasi perkhidmatan perpustakaan telah dicadangkan untuk memperkasakan penggunaan perpustakaan digital. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











