
JERLUN: Negara bakal menjadi cacamerba apabila sistem demokrasi boleh dicabul oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan, kata Ahli Parlimen Jerlun, Dr Ustaz Abdul Ghani Ahmad.
Menurutnya lagi, Akta Anti Lompat Parti 2022 dilihat tidak memberi apa-apa kesan positif kerana ia tidak digunakan dalam erti kata yang sebenar.
“Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul jelas telah khilaf mengikut selera hati dan selera partinya dalam membuat tafsiran Perkara 49A (1) (a) (ii) Perlembagaan Persekutuan.
“Sedangkan tafsiran Perkara 49A (1) (a) (ii) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut Ahli Parlimen yang keluar parti atau keahliannya dalam parti mereka tergugur dengan sendirinya hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen,” kata beliau kepada Harakahdaily.
Dr Abdul Ghani berkata, Johari membuat tafsiran berbeza di mana status enam orang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari parti BERSATU yang berpaling dari parti tidak hilang kelayakan dan terus kekal sebagai Ahli Parlimen.
“Kalau begitu tafsirannya, selepas ini mana-mana Ahli Parlimen, bebas menukar sokongan kepada mana-mana parti dan bebas bertukar fikiran semula jika sokongan terdahulu tidak menepati kehendak hatinya.
“Akhirnya, parlimen dan negara menjadi cacamerba kerana sistem demokrasi boleh dicabul oleh pihak yang berkepentingan,” tambah beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang sivil dan syarie di Kedah.
Terdahulu, enam Ahli Parlimen PN iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang).
Juga Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
BERSATU diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee terdahulu telah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, meminta supaya enam kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan.
Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.
“Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.
“Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan,”ujar Muhyiddin memetik laporan media tempatan, di sini. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











