
HASRAT kerajaan negeri melaksanakan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 sememangnya bertepatan dengan kemajuan yang dicapai oleh negeri itu.
Kedah pada dasarnya diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai negeri pengeluar beras negara yang seakan dinafikan pembangunan lain untuk dilaksanakan. Namun negeri yang di bawah petadbiran Perikatan Nasional (PN) dan diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sejak 17 Mei 2020 ini mampu mengorak langkah kemajuan dalam pelbagai bidang.
Salah satu pembangunan yang menjadi hasrat kerajaan negeri kini iaitu pusat bandaraya yang juga ibu negeri Kedah, Alor Setar.
Suatu ketika dahulu, Alor Setar dianggap pekan paling sunyi, suram dan pekan mati terutama menjelang 9:00 malam dan pengiktirafan Alor Setar sebagai Bandar Raya pada 28 November 2003, menjadi tanda tanya banyak pihak.
Ketika pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008-2013 di bawah pentadbiran Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, Aman Sentral dibangunkan dan sekali gus menjadi nafas pembangunan di bandar raya terbabit.
Aman Sentral menggantikan Plaza Tengku Yakkob yang terbengkalai hampir 30 tahun. Bangunan seolah-olah ‘rumah hantu’ di tengah Bandar Raya Alor Setar bukan sahaja mencacatkan pandangan pengunjung, malah membuktikan kegagalan kerajaan sebelumnya membangunkan plaza tersebut.
Walaupun Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan tidak sempat melihat Aman Sentral siap sepenuhnya, namun jasa beliau telah memberi infak terbaik kepada pembangunan Kedah dan Alor Setar amnya.
Tersergamnya bangunan Aman Sentral itu membuktikan kesungguhan pemimpin PAS yang menerajui kerajaan negeri membangunkan Kedah dan kini kesungguhan itu disambung oleh Sanusi.
Alor Setar merupakan bandar tertua di Malaysia, ditubuhkan pada 1735 dan berusia mencecah 289 tahun.
Merujuk kepada laporan sebuah media tempatan di sini, bandar ini lebih tua dari usia ibu negara Amerika Syarikat, Washington DC dan dikatakan dibuka lebih awal dari bandar raya terbesar Sydney di Australia.
Pastinya rakyat Kedah bangga dengan fakta ini, tetapi info ini tidaklah mustahil memandang Kedah Tua telah merakamkan tamadunnya abad ke lima dan merupakan paling awal di Semenanjung Malaysia.
Tidak dinafikan, Alor Setar kini menjadi lokasi paling sibuk di mana pusat pentadbiran negeri terletak di sini termasuk institusi pendidikan, pusat perubatan dan lain-lain.
Bandaraya Alor Setar kini meriah dan menjadi lokasi pilihan pengunjung khususnya di waktu malam.
Kewujudan pasar kopi dan jualan bazar seperti Lorong Pekan, Lorong Kereta api, Lorong Pekan Rabu dan Lorong Setar merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat selain menjadi tempat libur sekeluarga.
Laluan pejalan kaki berbumbung menghubungkan kesemua bazar tersebut bermula dari pusat bandar hingga ke Ukir Mall menambahkan keceriaan.
Usaha itu menjadikan bandar raya itu mesra pengguna atau walkable dihiasi taman-taman mini dalam bandar.
Bertepatan dengan ‘Jom Singgah Alor Setar 2024’ semakin banyak tempat menarik dibangunkan selain menaik taraf bangunan warisan agar tampak lebih segar.
Hal itu tidak termasuk aktiviti yang berpotensi menggamit pelancong dan pengunjung melalui aktiviti sepanjang Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit.
Pembangunan pinggir sungai itu khususnya berdekatan Muzium Negeri telah dinaik taraf dan diperindahkan dan menjadi tempat riadah dan tumpuan pengunjung.
Termasuk tempat untuk Outfit Of The Day (OOTD) yang dibangunkan oleh individu mahupun pihak swasta seperti di Tanjung Chali, Pekan Melayu dan Pekan Cina, termasuk replika jerami di bendang serta hamparan bunga Tekoma ala Korea pada musim panas, antara daya tarikan tersendiri bukan sahaja menjelang TMK 2025 malah juga buat masa ini.
TMK 2025 yang tidak berapa bulan sahaja dari sekarang, selain Langkawi sebagai pintu masuk pelancong, pusat-pusat rekreasi serta menarik di tanah besar juga tidak kurang hebatnya.
Hutan Lipur Sedim, Gua Sireh, Gunung Jerai, Gua Komunis, Muzium Padi, Gunung Keriang dan lain-lain termasuk pusat membeli belah di Pekan Rabu, kawasan bebas cukai, Bukit Kayu Hitam dan banyak lagi.
Pendek kata, pengunjung tidak akan kecewa dengan persembahan Kedah walaupun diungkap sebagai negeri Jelapang Padi namun kemeriahan pembangunan serta keindahannya bakal melekat di hati dan sanubari semua. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











