Riwayat hidup TG Jaliluddin akan dibukukan

- Advertisement -

MASJID TANAH: Sidang Assabiqun PAS Negeri Melaka berhasrat untuk membukukan riwayat hidup tokoh ulamak parti itu, Almarhum Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid.

- Advertisement -

Pengerusinya Assabiqun Melaka, Ramli Dalip berkatam ia bagi membolehkan orang ramai terutama para pejuang PAS waktu ini untuk lebih mengenali sosok itu yang sangat berjasa kepada umat.

“Itu rancangan saya sebagai mengenang jasa Tuan Guru Jaliluddin yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka paling lama, selama 20 tahun.

“Selepas perginya Allahyarham kembali ke rahmatullah pada Jumaat, 5 Julai baru-baru ni, saya rasa kena bukukan sejarah hidup beliau yang bagi saya ada nilai sejarah yang tinggi,” katanya.

Jelasnya, beliau telahpun bertemu dengan keluarga Almarhum bagi mendapatkan maklumat-maklumat penting terutama mengenai kitab-kitab yang pernah ditulis dan perjalanan kerjaya politiknya.

Tambah Ramli, selain pernah memegang jawatan Pesuruhjaya paling lama, Allahyarham juga pernah menjadi calon PAS dalam beberapa pilihan raya di Kawasan Tangga Batu dan Jasin sepanjang penglibatan beliau.

“Kita perlu ingat bahawa kemenangan yang diperolehi oleh PAS pada hari ini adalah hasil daripada kerja keras tokoh-tokoh terdahulu seperti Allahyarham Tuan Guru Jaliluddin ini.

“Mereka umpama ‘menebas semak membuka jalan’ kepada kita pada masa sekarang untuk membolehkan kemenangan dicapai PAS pada hari ini,” katanya.

Tambah beliau, banyak maklumat-maklumat penting berkaitan sejarah pimpinan dan perjalanan organisasi PAS yang tidak dijaga dengan baik dan tidak didokumentasikan yang akhirnya hilang begitu sahaja.

Kerana itu jelasnya, langkah-langkah sebegini harus dilakukan bagi memastikan sejarah penting PAS Melaka itu tidak hilang begitu sahaja seperti apa yang telah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu mengadakan kunjungan hormat Assabiqun Negeri Melaka ke PAS Kawasan Masjid Tanah yang berlangsung di Markaz Kawasan Jalan Hujan Panas, di sini semalam.

Terdahulu rombongan beliau turut menziarahi keluarga Allahyarham Tuan Guru Jaliluddin di kediaman mereka di Sungai Udang, Tangga Batu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman meraikan kunjungan rombongan Assabiqun PAS Melaka itu yang memilih Kawasan Masjid Tanah sebagai lokasi pertama lawatan.

“Kami sangat gembira dapat bertemu dengan pimpinan Assabiqun PAS Melaka yang kini dalam rangka kunjungan ke semua kawasan-kawasan dalam negeri Melaka.

“Kami berbesar hati dengan penghargaan ini kerana kawasan kami jadi kawasan pertama yang dilawati. Seperti yang diberitahu sendiri oleh Tuan Haji Ramli bahawa Masjid Tanah adalah lokasi awal PAS bertapak di Melaka sebelum merdeka dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, pihaknya sentiasa menyokong aktiviti yang dilakukan oleh Sidang Assabiqun kawasan itu dalam usaha menggerakkan sidang tersebut.

“Assabiqun adalah satu sayap penting dalam PAS. Mereka bukan lagi diperlukan untuk memasang poster atau memacak bendera, tetapi mereka berperanan memberi nasihat dan panduan untuk generasi sekarang bekerja memajukan parti.

“Mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas dan lama dalam perjuangan. Mereka berada dalam zaman PAS dalam kesusahan. Sudah tentu banyak panduan berguna yang mereka mampu kongsikan,” katanya.

Beliau turut berharap agar Sidang Assabiqun dapat terus menyumbang idea dan buah fikiran dalam melancarkan perjuangan PAS di negeri ini.

Antara pimpinan Assabiqun PAS Melaka yang hadir ialah Timbalan Pengerusi, Abdul Alim Shapie, Ketua Penerangan, Hassan Md Dahan dan Setiausaha, Suhaimy Osman.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Abu Hashim Abdul Samad, Ketua Assabiqun PAS kawasan, Md Saril Ahmad dan Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -